Bimbang runtuhan makin teruk

in Edisi Melaka Negeri Sembilan by


PORT DICKSON – Tanah runtuh di jalan Taman Negeri sejak dua minggu lalu menggusarkan pengguna jalan berkenaan terutamanya pada waktu malam.


Penduduk, K Kalai, 55, berkata, laluan tersebut adalah antara laluan utama yang digunakan penduduk keluar masuk bagi urusan seharian mereka.


“Setakat ini, laluan ini masih boleh digunakan, namun penduduk khuatir kesan runtuhan akan semakin besar.


“Rata-rata penduduk telah sedia maklum dengan keadaan jalan ini (runtuh), namun kita harap pihak berkuasa tempatan (PBT) dapat segera membaikinya,” katanya.


Sementara itu, Ahli Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD), Datuk R Balakrishnan berkata, sejurus menerima aduan daripada penduduk taman berkenaan, tindakan awal terus dilaksanakan pihaknya.


“Untuk peringkat awal, kawasan berkenaan akan ditanda sebagai amaran berhati-hati kepada pengguna laluan itu.


“Satu pertiga daripada laluan telah ditutup, namun laluan ini masih boleh digunakan penduduk sama ada pengguna motosikal ataupun kereta,” katanya.


Balakrishnan berkata, MPPD juga akan membaik pulih kawasan runtuhan itu dalam masa terdekat.


“Sedikit kajian akan dilakukan dan kerja-kerja membaik pulih akan dilaksanakan segera,” katanya.


Dalam pada itu, Balakrishnan turut menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati ketika menggunakan laluan itu dan boleh juga menggunakan laluan alternatif di dalam kawasan taman ini.


Source: SH Edisi Melaka NS

[featured-video-plus]