Black Panthers gah, Turtles goyang

in Sukan by


SAINGAN tiga tempat teratas Sepak Takraw League (STL) 2017 semakin sengit selepas berakhirnya lapan perlawanan liga baru-baru ini.


Pada ketika dua pasukan pilihan, Penang Black Panthers dan Terengganu Turtles kekal tidak terusik di kedudukan satu dua sejak minggu pertama.


Sementara penghuni tempat ketiga pula silih berganti dengan yang terbaru menjadi milik Kelantan Warriors.


Sepertimana diketahui, STL tahun ini menampilkan kelainan dengan tiga pasukan teratas akan layak beraksi di STL Champions League berpeluang menguji kehebatan menentang pasukan antarabangsa seperti Thailand, Korea Selatan, India dan Indonesia.


Selain Kelantan Warriors, juara Divisyen Satu musim lalu, Perak Bison dan ATM Guardians turut memastikan mereka kekal dalam landasan terbaik menyambar satu slot ke pentas STL Champions League apabila  kesemuanya  mengumpul lapan mata.


Nasib berbeza dua jagoan


Sementara itu, aksi minggu keempat yang berakhir Ahad lalu menyaksikan nasib berbeza dialami dua jagoan Penang Black Panthers dan Terengganu Turtles.

Thunder kembali bernafas merebut slot tiga terbaik.


Pasukan juara bertahan bimbingan Helmi Ismail itu meneruskan penguasaan mereka di kedudukan teratas apabila  dua kemenangan sekali gus mengumpul 14 mata.


Manakala Terengganu Turtles pula  meratapi  nasib  malang setelah tewas kedua-dua perlawanan kepada Kelantan Warriors dan ATM Guardians.   


Kekalahan Terengganu Turtles menyaksikan mereka kekal dengan 10 mata hasil lima kemenangan namun yang menjadi tumpuan adalah kebangkitan ditunjukkan ATM Guardians.  

Aksi bertenaga Black Panthers semakin sukar dikejar pesaing lain.


Pasukan bimbingan Aswadi Abdullah itu membuktikan cabaran mereka tidak boleh diketepikan apabila bangkit daripada aksi longlai menentang Johor Tigris dalam perlawanan sebelumnya dan tampil cukup bertenaga menundukkan Terengganu Turtles untuk berada di kedudukan kelima.


Thunder kembali bersaing


Selain Kelantan Warriors, Perak Bison dan ATM Guardians yang sedang dalam pertarungan tiga penjuru, naib juara musim lalu Kuala Lumpur Thunder juga kembali dalam persaingan setelah melakar kemenangan ketiga dengan menewaskan Kelantan Warriors.


Justeru, dengan berbaki hanya enam perlawanan sahaja untuk diharungi, belum ada pasukan yang  sudah mengesahkan tempat di STL Champions League selain Penang Black Panthers yang semakin sukar untuk dikejar.


Situasi ini menyaksikan peluang masih terbuka buat sekurang-sekurangnya lima pasukan memecah ke kelompok tiga terbaik dan aksi minggu kelima yang merupakan aksi terakhir sebelum STL Premier berehat selama seminggu akan memberi gambaran lebih jelas tentang peluang kesemua pasukan.

 


Source: SH Sukan

[featured-video-plus]