Buru pemilik syarikat jualan langsung tipu pelanggan

in Edisi Melaka Negeri Sembilan by


NILAI – Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Selangor kini memburu pemilik sebuah syarikat pembekal mesin layan diri di Rawang, Selangor yang disyaki memperdaya pelanggan membabitkan kerugian mencecah RM400,000.


Timbalan Pengarahnya Azman Adam berkata pihaknya menerima beberapa aduan pelanggan yang mendakwa mereka tidak menerima mesin layan diri yang ditempah daripada syarikat itu.


Susulan itu, KPDNKK Selangor menyerbu premis syarikat berkenaan dan merampas 35 unit mesin layan diri minuman, makanan ringan serta kios Internet Wi-Fi yang dianggar bernilai RM439,500 pada 19 Oktober lalu, katanya pada sidang media di Kompleks Penyimpanan Eksibit KPDNKK Nilai, di sini hari ini.


Katanya siasatan awal mendapati syarikat yang beroperasi sejak 2015 itu disyaki  menjalankan perniagaan jualan langsung namun gagal mengemukakan lesen sah jualan langsung daripada KPDNKK.


“Dalam sistem pendaftaran Suruhanjaya Syarikat Malaysia, syarikat itu didaftarkan sebagai pembekal mesin layan diri namun yang dilakukan mereka ialah menjalankan promosi dari rumah ke rumah bagi mencari pelanggan, sekali gus menyalahi Akta Jualan Langsung 1993,” katanya.


Katanya mereka memperdaya pelanggan dengan menawarkan baucar percutian di dalam dan luar negara bernilai RM1,000 selain memberi jaminan pinjaman diluluskan dan pulangan yang besar.


Azman berkata setakat ini pihaknya telah mengambil keterangan 20 individu dan sedang mengesan pemilik syarikat berkenaan.


Kes disiasat menurut Seksyen 4(1) Akta Jualan Langsung dan Skim Anti-Piramid 1993 yang memperuntukkan penalti RM250,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya bagi individu dan denda RM1 juta bagi kesalahan pertama untuk syarikat, jika sabit kesalahan. –Bernama


Source: SH Edisi Melaka NS

[featured-video-plus]