Gelanggang Buaya berubah wajah

in Edisi Selangor KL by


KELANANG – Gelanggang takraw dan badminton di Gelanggang Buaya, Kelanang yang sebelum ini terbiar sejak lima tahun lalu kini berubah wajah.


Perubahan itu sekali gus memberi peluang masyarakat memanfaatkan kemudahan yang disediakan.


Ketua Puteri Umno Bahagian Kuala Langat, Asuma Beevi Mohamed Sali, beliau mengambil tindakan berjumpa dengan pengadu dari laman sosial Facebook yang meluahkan mengenai kemudahan itu bagi mendapatkan maklumat terperinci.


Menurutnya, beliau tidak sangka melalui permohonan ke Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW), gelanggang itu mendapat perhatian baik pulih kira -kira RM13,000 dengan dilengkapi pembersihan kawasan, dua kerusi pengadil, jaring, bola dan 10 unit kerusi batu.


“Saya mohon secepat mungkin selepas jumpa pengadu, dan percaya ramai anak muda di kawasan sana.


“Dulu memang gelanggang tu digunakan secara aktif, tapi bila BN tak pegang lagi, dia jadi terbiar. Tu yang anak-anak muda sana tak ada tempat nak riadah,” katanya kepada Sinar Harian mengulas mengenai gelanggang serba guna yang sebelum ini terbiar, semalam.


Asuma berkata sebelum ini, kebanyakan belia terpaksa menumpang beriadah di padang berhampiran Dewan Kelanang.


Katanya, kemudahan itu hanya untuk  sukan bola sepak, manakala tiada kemudahan gelanggang takraw dan badminton.


“Bagaimanapun, bila gelanggang ini siap dibina saya berhasrat memohon ketua pemuda cawangan dan orang tempatan memantau kemudahan itu supaya tidak disalahgunakan.


“Saya harap kemudahan ini dapat memberi manfaat pada anak-anak muda di kawasan sekitar,” katanya.


Bagaimanapun, beliau turut memberitahu,  selepas aduan melalui laman sosial Facebook mengenai pasal gelanggang tersebut tular, beliau turut mendapat cadangan daripada wanita – wanita muda yang mahukannya menyediakan kemudahan padang bola jaring pula.


Katanya, permintaan itu sedang diusahakan, kerana buat masa ini mereka terpaksa bayar sewa yang agak mahal di padang bola jaring milik Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL).


“Saya harap usaha ini sedikit sebanyak dapat membantu mengurangkan gejala tak sihat dalam kalangan remaja dan seterusnya menggalakkan mereka ke arah cara hidup yang sihat dengan memberi kemudahan riadah kepada mereka,” katanya.


Source: SH Edisi Sel KL

[featured-video-plus]