Hanya mampu terbaring sejak lahir

in Edisi by


LUBOK JONG – Seorang kanak-kanak di Kampung Serai Lima, di sini, mengalami penyakit saraf dan hanya mampu terbaring sejak lahir selepas disahkan lemas ketika dalam kandungan.


Ibunya, Nur Haslinda Abdullah, 23, berkata, dia sayu melihat anaknya, Muhammad Safuan Adam Firdaus, 5, terbaring atas tilam dalam keadaan lemah sepanjang masa.


Menurutnya, dia berharap dapat mengurangkan kesulitan dihadapi anaknya dengan mendapatkan katil khas, namun kosnya yang tinggi menyebabkan hasrat itu berkubur hingga kini.


Katanya, ini kerana dia perlu mengeluarkan kos yang agak tinggi untuk membeli susu formula khas dan lampin pakai buang untuk keperluan harian anak sulungnya ini.


Ujarnya, bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) turut membantu meringankan beban untuk keperluan harian anaknya.


“Pendapatan suami yang bekerja kampung hanya mampu tampung keperluan saya dan seorang lagi anak kami yang baru berusia lima bulan,” katanya.


Kata Haslinda, dia berharap anaknya akan menikmati kemudahan katil dan kerusi roda khas kerana dia tidak sanggup melihat keadaan anaknya itu.


“Saya mungkin tak dapat dukung Safuan untuk ke hospital atau klinik untuk dapatkan rawatan susulan selepas umurnya menginjak dewasa kelak.


“Malah disebabkan keadaan fizikalnya juga, saya dah tak menaruh harapan tinggi dia dapat jejakkan kaki ke sekolah,” katanya yang kini menumpang di rumah ibu bapanya bersama adik yang juga ibu tunggal serta anaknya.


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]