Hanya tunggu lampu hijau

in Uncategorized by


MANONG – Selepas jambatan Manong dan Dataran Amanjaya Manong, penduduk di kawasan Dun ini bakal menikmati projek pembangunan yang akan memberi manfaat kepada lebih 200 keluarga.


Adun Manong, Datuk Mohamad Kamil Shafie berkata, projek rumah mampu milik dijangka dibina di Manong melibatkan beberapa kawasan yang telah dikenal pasti.


Menurutnya, hampir 200 rumah bakal dibina dan antara lokasi dipertimbangkan adalah di Kampung Guar, pekan kecil Manong dan tapak berhampiran Rancangan Perumahan Awam (RPA 4) Manong.


“Kita sudah ada pekan kecil Manong, jambatan juga sedang dalam pembinaan. Jadi, apa lagi yang kurang? Saya rasa projek perumahan perlu ada.


“Wakil kerajaan negeri telah melihat tapak yang kita cadangkan. Setakat ini, semuanya berjalan lancar dan menunggu perkembangan.


“Mungkin kita akan buat Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) atau Rancangan Perumahan Tersusun (RPT),” katanya.


Beliau berkata, projek melebar dan meluruskan jalan dari Kuala Kangsar ke Manong akan dimulakan dalam tahun ini juga.


Katanya, fasa pertama akan bermula dalam masa terdekat dan melibatkan laluan dari Kuala Kangsar ke Kampung Ulu Kernas.


“Selepas selesai barulah fasa seterusnya bermula, sambung terus ke Manong.


“Ia bakal memberikan keselesaan kepada pengguna dan diharapkan mampu menarik pelancong datang ke Manong,” katanya.


Selain jalan tersebut, pihaknya juga sudah membaiki beberapa jalan ladang hasil bantuan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.


Source: SH Edisi Perak

[featured-video-plus]