Jumpa 12 pengetua tahfiz niat untuk menegur

in Nasional by


KOTA BHARU – Bekas Pemangku Presiden Persatuan Madrasah Tahfiz Quran Malaysia (Permata Al-Quran) Yaakob Harun menyatakan, perjumpaan 12 pengetua tahfiz yang dibuat di Kota Bharu baru-baru ini dianjurkan Sekretariat Gabungan Sekolah Tahfiz Berdaftar Malaysia bagi membincangkan isu ketidakadilan dalam pembahagian bantuan.


Bagi tujuan itu, Yaakob menafikan menggunakan nama Permata, sebaliknya hanya memperkenalkan diri menyebut secara jelas bahawa beliau adalah mantan pemangku presiden persatuan itu.


“Oleh kerana isu ini adalah isu berkaitan sekolah sekolah tahfiz yang merupakan ahli Permata yang sepatutnya ada persatuan yg memperjuangkan hak mereka.


“Jadi saya rasa tak salah untuk saya memperkenalkan status sebagai salah seorang pimpinan sekolah sekolah tahfiz yang berusaha memainkan peranan demi kebaikan sekolah sekolah tahfiz dan juga agensi agensi kerajaan yang terbabit,” katanya dalam satu kenyataan.


Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Presiden Permata, Manolito Mohd Dahlan yang kesal apabila Yaakob didakwa menggunakan nama Permata dalam perjumpaan 12 pengetua madrasah tahfiz di Kota Bharu baru-baru ini.


Isu itu timbul apabila Yaakob, selepas perjumpaan itu mengeluarkan kenyataan meminta Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Kelantan (Maik) dan Jabatan Kebajikan Islam Malaysia (Jakim) mengkaji semula pengagihan peruntukan yang diberikan kerajaan kepada sekolah tahfiz yang didakwa tidak sama rata.


Yaakob berkata, selaku bekas pemimpin, bila berlaku situasi yang kurang baik, beliau meminta agar semua mudir supaya berbincang secara baik dan tidak mengambil tindakan yang tidak sepatutnya agar tidak mencemarkan imej dan merosakkan suasana, apalagi di zaman fitnah dan suasana perpecahan ummah.


“Saya salah seorang pimpinan yang telah kembali membangunkan Permata sewaktu waktu sudah hampir mati. Ketika itu Permata cuma ada belasan ahli dan saya bersama pasukan kepimpinan waktu itu sedaya upaya bertungkus lumus memperkasakan kembali persatuan ini sehingga  ahli meningkat kepada ratusan orang,” katanya.


Beliau pada masa yang sama memohon pimpinan Permata menyelesaikan isu ini dengan baik dan bukannya bersikap prasangka, yang mana ia boleh memecahkan hubungan yang sedia terjalin.


“Alangkah baik jika presiden bertanya saya dahulu sebelum mengeluarkan kenyataan, saya melihat dalam isu jawatan itu ada berlaku kesilapan apabila tidak menyebut perkataan mantan.


“Saya ingin jelaskan, saya tidak perlu untuk guna nama Permata, saya tidak ada kepentingan apa-apa, oleh itu saya berharap agar kita ustaz dan pengetua-pengetua sekolah Quran perlu berbeza dari budaya ramai demi nama al-Quran yang kita junjungi,” katanya.


Beliau dalam masa yang sama berkata, pihaknya sedia berbincang dengan semua pihak, sama ada secara berbuka mahupun secara tertutup berhubung isu yang diperkatakan.


“Saya akan berusaha membantu semua. Termasuk Permata yang telah melukakan saya dengan mengucapkan terima kasih dengan nada kepelikan, nasihat saya, agar jangan mentafsirkan nasihat berguna sebagai makna memburukkan Permata,” katanya.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]