Mampu ubati dari jauh

in Edisi Utara by


POKOK SENA – Menangkap jin melalui perubatan Islam kini semakin dipercayai oleh masyarakat hari ini.


Walaupun berada di dunia berbeza, tetapi masalah itu dapat dilakukan sekiranya seseorang itu mempunyai kepakaran sama ada untuk menghalau atau menangkap makhluk halus seperti jin.


Ahmad Ismail, 64, dari Kampung Kubang Mekki, Mukim Jabi berkata, kerja menghalau dan menangkap makhluk itu memerlukan ilmu yang cukup supaya tidak mudah mengalah ataupun diganggu.


Menurutnya, dia mula mempelajari perubatan Islam semasa tinggal di Shah Alam apabila berjumpa dengan seorang pakar perubatan Islam di Klang.


“Waktu itu saya belajar mengenai perubatan Islam dan tangkap jin pada 1985.


“Mulanya saya belajar untuk perlindungan keluarga saja tapi selepas diminta tolong oleh masyarakat setempat, saya terpaksa hulurkan bantuan,” katanya.


Ahmad berkata, sejak dari itu dia sering dipanggil untuk mengubati pesakit dan menghalau serta menangkap jin.


“Tapi saya akan bincang dan menyampaikan dakwah dulu kepada jin itu supaya memeluk Islam sekiranya kafir.


“Jika jin itu enggan, saya akan arahkan dia keluar dari tubuh pesakit dan jika dia taknak juga, dia akan ditangkap dan dimasukkan ke dalam bekas tertentu untuk dibuang jauh,” katanya.


Katanya, dia mampu menangkap jin dengan menggunakan doa tertentu tidak kira sama ada dari jarak dekat mahupun jauh.


“Selain berdoa dan guna ayat al-Quran, saya turut guna gelombang nafas untuk tangkap jin yang ganggu manusia.


“Dengan doa, saya tak perlu kekuatan fizikal atau perlu berada di sesuatu tempat. Saya cuma perlu ada di rumah. Dengan doa tertentu saya mampu tarik jin yang ganggu manusia datang kepada saya untuk ditangkap,” katanya.


Tambahnya, dia pernah diminta mengubati seorang anak pelanggannya yang berada di Amerika yang sering sakit diganggu makhluk halus.


“Alhamdulillah dengan guna sekeping gambar pesakit dan dengan keizinan ALLAH, saya berjaya tangkap jin itu yang selalu ganggu pelajar berkenaan,” katanya.


Tambahnya , kebanyakan jin yang ditangkapnya itu akan dibuang jauh dari penempatan manusia seperti di laut, sungai, tasik dan hutan.


“Bayaran pula bergantung pada kes dan kemampuan pesakit agar tidak bebankan mereka” katanya.


Source: SH Edisi Utara

[featured-video-plus]