Mekanisme untuk pesawah dapat bayaran balik

in Nasional by


SHAH ALAM – Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) akan memutuskan satu mekanisme untuk membolehkan semua pesawah yang telah membeli benih padi sah tanpa harga subsidi untuk diberikan bayaran balik.


Ketua Setiausahanya, Datuk Seri Dr Ismail Bakar berkata, ia akan dibuat dalam tempoh dua minggu akan datang.


“Perkara ini diambil selepas pertemuan di antara Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dengan semua pengeluar benih padi sah pada 23 Oktober 2017 yang lalu.


“Beberapa persetujuan dan keputusan telah dicapai berikutan maklum balas dan aduan yang diterima daripada pesawah,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.


Beliau berkata, hasil pertemuan tersebut, semua pengeluar telah bersetuju untuk bersama-sama membantu bagi memastikan bekalan benih padi sah adalah mencukupi untuk pesawah dan menjual dengan harga yang disubsidikan.


Sebelum ini, beberapa laporan media dan aduan pesawah mengenai isu harga dan bekalan benih padi sah bersubsidi yang timbul baru-baru ini.


Untuk tahun 2017, sejumlah RM75 juta telah diperuntukkan di bawah Skim Insentif Benih Padi Sah (IBPS), yang memberikan subsidi sebanyak RM20.60 untuk setiap beg benih yang dijual oleh pengilang.


Dengan subsidi ini, harga siling jualan di pintu kilang telah ditetapkan pada RM28.00 setiap beg, berbanding kos pengeluaran RM48.60 setiap beg.


Selain itu, semua pesawah boleh menghubungi pengeluar benih padi sah yang telah dilantik oleh MOA serta menghubungi agensi seperti MADA, KADA dan IADA untuk mengesahkan tuntutan pembelian masing-masing.


“Jika tuntutan tersebut teratur, ia akan diselesaikan sebelum hujung tahun 2017.


“Selain itu, kerajaan akan meneliti beberapa cadangan lain untuk menambah baik industri benih padi, termasuk cadangan mendaftar dan melesenkan semua ejen atau pengedar benih padi sah, serta cadangan penetapan harga siling benih padi di peringkat pengedar.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]