Mengenang Tragedi Sauk: Beri pinjam motosikal

in Uncategorized by


LAIN pula kisahnya dengan seorang lagi penduduk Sauk iaitu, Baharin Itam Talib, 68. Kalau Mat Isa meminjamkan pengetahuannya mengenai selok belok Bukit jenalik, dia pula meminjam motosikalnya kepada Sanghadevan semasa mendiang mahu menyiasat bunyi letupan yang didengari penduduk di Bukit Jenalik.


Katanya, dia masih tak melupakan peristiwa itu walaupun ia telah berlalu hampir dua dekad.   


Menceritakan kembali kejadian tersebut, Baharim berkata, pada ketika itu, dia berada di dalam perjalanan menghantar anaknya ke pondok bas berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Jenalik dengan menunggang motosikal Honda EX5.


Setibanya di sana, dia terdengar orang bercerita perihal kumpulan tersebut. Tidak lama selepas itu Sanghadevan datang kepadanya mahu meminjam motosikal untuk naik ke bukit.  


Katanya, dia membenarkan anggota polis berkenaan meminjamnya walaupun motosikal itu baru sebulan digunakannya.


“Selepas anggota polis naik bukit, saya tunggu tapi dia tidak turun-turun pula. Bila lama sangat tunggu dan dengar anggota tadi mungkin ditahan, saya balik ke rumah dengan berjalan kaki dalam jarak lebih setengah kilometer.


“Tak lama lepas itu, saya dapat tahu motosikal saya jadi barang bukti kes. Terkejut jugalah. Bila saya dapat balik motosikal itu, macam-macam orang kampung tanya,” katanya.


Bagi Baharim, tiada sekelumit pun rasa kesal atau marah terbuku di hatinya bila mengenangkan dia terpaksa berbasikal selama lebih sebulan selepas kejadian berkenaan.


Katanya, dia tidak akan menjual motosikalnya kerana merasakan ia mempunyai nilai yang cukup tinggi kerana menyimpan sejarah yang tidak diketahui orang lain.


“Motosikal itu sangat tinggi nilainya pada saya. Saya dah pesan pada anak-anak. Kalau mereka tak mahu guna, biar tersadai pun tak mengapa tapi saya larang mereka jual.


“Nampak saja buruk dan kotor tapi motosikal itu terlibat dalam salah satu sejarah hitam negara dan mungkin juga dunia,” katanya.

 


Source: SH Edisi Perak

[featured-video-plus]