Mengenang Tragedi Sauk: Pujuk keluarga pulang

in Uncategorized by


SELAIN itu, Mat Isa berkata, pihak berkuasa turut memainkan lagu sedih menggunakan pembesar suara sekolah.


“Saya ingat lagi, banyak juga lagu dipasang dan pembesar suara dihalakan ke bukit. Lagu dimainkan banyak yang mendayudayu dan kebanyakannya lagu P Ramlee. Satu yang saya ingat ialah Getaran Jiwa. “Siapa yang duduk dekat dengan sekolah memang boleh dengar dengan jelas. Rasanya cara itu berhasil kerana dua ke tiga hari selepas itu, ada saya dengar beberapa ahli melarikan diri dan menyerah kepada anggota polis.


Katanya, terdapat juga episod di mana ahli keluarga kumpulan tersebut dibawa untuk memujuk ketua keluarga mereka agar meninggalkan kumpulan militan berkenaan.


[ARTIKEL BERKAITAN: Mengenang Tragedi Sauk: Beri pinjam motosikal]


[ARTIKEL BERKAITAN: Mengenang Tragedi Sauk: Lukis pelan Bukit Jenalik]


“Masa pujuk, orang awam memang tidak dibenarkan masuk ke kawasan sekolah.


“Jadi, kami tidak tahu apa berlaku di sana.


Sebaliknya, cuma dengar dari jauh sahaja,” katanya.


Tembak suar, pasang lagu sedih


Di kala orang kampung sedang berteka-teki apa yang berlaku di kampung mereka, anggota keselamatan negara pula sibuk merancang strategi untuk menundukkan Al-Ma’unah yang didakwa mempunyai ilmu kebatinan sangat tinggi.


Tidak mahu pertumpahan darah berlaku, mereka telah melancarkan perang saraf pada waktu malam untuk memberi tekanan kepada kumpulan militan berkenaan agar menyerah diri.


Pelbagai cara telah digunakan termasuk menembak suar dari semasa ke semasa sehingga suasana di Bukit Jenalik terang benderang.


Mat Isa berkata, dia dan penduduk kampung beberapa kali ternampak cahaya menghala ke bukit tersebut dipercayai tembakan suar yang dilepaskan oleh polis dan tentera.


“Dengarnya suar ditembak untuk menakutkan dan mengganggu tidur mereka, sekali gus melemahkan semangat.


“Banyak kali jugalah tembakan suar dilepaskan. Kadangkala bila kami duduk minum di kedai, boleh nampak cahaya laju pergi ke Bukit Jenalik,” katanya.


Seronok tengok tentera

Muhammad Amin sebelum dijatuhkan hukuman gantung sampai mati.


Dalam pada penduduk Sauk merasa bimbang dengan kejadian tersebut, Mohamad Hafiz Idris, 31, pula sebaliknya.


Katanya, dia teruja apabila melihat banyak trak dan kereta perisai tentera di Sauk.


Dia yang berusia 14 tahun pada ketika itu juga merasa seronok apabila melihat wajah penduduk dan pekan Sauk terpampang di kaca tv.


“Masa itu saya muda lagi, tak tahu pun rupanya insiden itu memberikan impak yang cukup besar kepada sejarah negara.


“Masa itu fikir seronok sahaja bila tengok aset tentera di depan mata,” katanya.


Bagaimanapun, katanya, dia tidak akan melupakan peristiwa yang berlaku itu.


“Keadaan hiruk-pikuk di kampung. Semuanya sibuk. Jalan ada yang ditutup. Sekolah pun tutup juga,” katanya.


Sementara itu, seorang penduduk yang mahu dikenali sebagai Hanapi,44, berkata, turut berlaku perpindahan sementara dalam kalangan orang kampung yang tinggal berhampiran kawasan sekolah berkenaan.


Katanya, mereka bimbang terkena peluru sesat sekiranya berlaku pertempuran antara Al-Ma’unah  dengan polis dan tentera.


“Mana yang takut mereka pindah, manakala yang berani mereka terus tinggal di situ.


“Tapi tak pasti pula berapa ramai yang pindah sebab kawasan sekitar sekolah itu dulu memang tak ramai orang,” katanya.


Katanya, hanya anggota polis dan tentera sahaja yang berada di kawasan berkenaan selama mana berlakunya peristiwa berkenaan.


Source: SH Edisi Perak

[featured-video-plus]