Misteri kehilangan kucing terjawab

in Edisi by


KUALA KRAI – Misteri kehilangan tiga ekor kucing milik seorang penduduk di Ladang Kampung Kuantan dekat Pahi, terjawab selepas menangkap seekor ular sawa seberat 10 kilogram di kawasan sangkar kucingnya, malam semalam.


Zakaria Daud, 50, berkata, dia menyedari kehadiran ular itu selepas mengurung tiga ekor kucing peliharaannya dalam sangkar yang dibina di belakang rumahnya


Menurutnya, seperti biasa setelah mengurung kucingnya, dia akan menutup sangkar itu dengan kain.


“Ketika itu, saya nampak ada seekor ular dalam longkang di bawah sangkar kucing.


“Masa itu saya memang terkejut dan segera hubungi rakan untuk menangkap ular ini,” katanya.


Zakaria berkata, sebelum ini, dia pernah ternampak kelibat seekor ular berhampiran sangkar kucing, tetapi tidak sempat menangkapnya.


“Ular yang saya nampak tempoh hari tak sama dengan yang ditangkap hari ini (semalam),” katanya.


Bapa kepada empat anak ini berkata, dengan penemuan ular itu, dia yakin kehilangan tiga kucing peliharaannya ada kaitan dengan reptilia berkenaan.


“Anak bongsu saya terlalu sukakan kucing. Sejak kucing kesayangannya hilang, dia tak selera makan.


“Kami mencarinya merata tempat, namun tak jumpa hingga ke hari ini.


“Kemungkinan besar ketiga-tiga kucing peliharaan kami dimakan ular memandangkan kami belum menjumpainya,” katanya.


Sementara itu, penangkap ular, Mohd Hamdan Mahadi berkata, dia hanya mengambil masa beberapa minit sahaja untuk menangkap ular sawa berkenaan.


Source: SH Edisi Kelantan

[featured-video-plus]