Peluang cerah wujud zon perindustrian

in Edisi by


TELUK INTAN – Kerja-kerja pemasangan paip bagi Projek Rangkaian Paip Penyaluran Gas Industri oleh Gas Malaysia Berhad (GMB) merentasi Dun Changkat Jong dilihat sebagai satu kelebihan bagi pembangunan industri di Hilir Perak.


Adun Changkat Jong, Datuk Mohd Azhar Jamaluddin berkata, pada mulanya pihaknya tertanya-tanya apakah projek yang sedang dilakukan bermula dari Jalan Changkat Jong sehingga ke Kampung Padang Tembak sejak dua bulan lalu.


“Setelah memperoleh maklumat saya dimaklumkan bahawa pemasangan paip berkenaan adalah di bawah GMB bagi menyalurkan gas industri terus ke Hutan Melintang.


“Sehingga kini saya masih lagi menunggu jawapan daripada GMB berkenaan berapa panjang paip yang dipasang selain akan membawa perkara ini ke Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) 21 November ini,” katanya kepada Sinar Harian ketika meninjau kerja-kerja pemasangan berkenaan di Jalan Padang Tembak, pagi tadi.


Mohd Azhar juga berterima kasih kepada kerajaan serta GMB kerana memilih Teluk Intan sebagai laluan pemasangan saluran gas industri tersebut dan menyifatkan ia satu rahmat buat parlimen tersebut.


“Saya melihat peluang cerah rancangan mewujudkan Zon Perindustrian Berasaskan Pertanian di Teluk Intan yang sedang dalam perbincangan akan dapat direalisasikan dengan adanya saluran gas industri ini.


“Ini kerana saya difahamkan saluran gas ini akan melalui tanah 200 ekar yang dicadangkan untuk mewujudkan zon perindustrian di Teluk Intan berhampiran Batu 5, Jalan Maharajalela,” katanya.


 


 


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]