Pemuda BN sokong cadangan Khairy

in Politik by


SHAH ALAM – Setiausaha Pemuda BN Wilayah Persekutuan, Abdul Razak Abdul Rahman menyokong cadangan supaya kemelut sosial generasi muda perlu ditangani dengan penuh komitmen menerusi pembentangan Bajet 2018, seperti disuarakan Ketua Pemudanya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.


Abdul Razak berkata, walaupun aspek fizikal sering dilihat sebagai indikator terhadap  kemajuan negara, namun ia tidak melambangkan sejauh mana mentaliti masyarakat.


“Saya senada dengan kenyataan Khairy Jamaluddin. Kita kerap merujuk betapa tingginya bangunan kita, berapa panjangnya jambatan atau lebuh raya kita, betapa canggihnya teknologi, sehingga kita lupa pembinaan sosial tidak kurang penting dengan pembinaan infrastruktur,” katanya dalam kenyataan, semalam.


Sebelum ini, Khairy Jamaluddin dalam tulisannya berharap Bajet 2018 dapat mengangkat satu agenda sosial bagi membangunkan modal insan kelas pertama.


Menurutnya, ia satu lagi agenda perlu diberi penekanan khusus merentasi kementerian kerana modal insan bukan hanya terhad terhadap aspek pendidikan dan latihan sahaja, malah turut membabitkan pembentukan akhlak, nilai sahsiah dan keperibadian.


Sehubungan itu, Abdul Razak yang juga Ketua Pemuda Umno Kepong turut menggesa  pembentangan Bajet 2018 dapat memberi penekanan terhadap pembinaan sosial dan jati diri, khususnya golongan muda.


“Faktor kerapuhan jurang antara kaum juga perlu diatasi dengan peruntukan dana khas kepada institusi yang terlibat secara langsung dengan agenda ini seperti Kementerian Pendidikan, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan juga Kementerian Belia dan Sukan (KBS).


“Kita sibuk melihat ke atas hingga kita lupa mereka di sekeliling kita yang terpinggir atau dipanggil the lost generation ini”, katanya.


Source: SH Politik

[featured-video-plus]