Polis serbu rumah kedai tempat pengedaran dadah

in Edisi by


KUALA BERANG – Cubaan seorang lelaki berusia 30 tahun daripada sebuah kampung dalam daerah ini membaling paket plastik ke arah lantai tepi dinding bagi kaburi mata pihak berkuasa tidak mendatangkan hasil setelah hasil pemeriksaan berjaya menemui plastik disyaki mengandungi dadah itu.


Terdahulu, suspek yang masih bujang bertindak sedemikian sebelum dicekup dalam satu serbuan  secara bersepadu kira-kira jam 3.30 pagi semalam menerusi Operasi Perdana Fasa Ke-2 oleh Ibu Pejabat Polis Daerah(IPD) Hulu Terengganu dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan(AADK) Hulu Terengganu sekaligus berjaya merampas  dadah dipercayai pil kuda dianggarkan bernilai RM9,800.


Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud berkata, serbuan dilakukan ke sebuah rumah kedai di kampung tersebut yang menjadi tempat bermalam suspek  yang disyaki terlibat dengan aktiviti pengedaran khususnya di daerah ini dan penyalahgunaan dadah.


“Sewaktu serbuan dijalankan suspek yang tidak bekerja bertindak membaling paket plastik ke bahagian tepi dinding. Namun, hasil pemeriksaan dalam bahagian bilik tidur rumah kedai itu dengan disaksikan suspek,  pihak berkuasa menjumpai lima paket plastik berwarna biru.


“Pemeriksaan lanjut mendapati di dalamnya terdapat biji-biji pil berwarna merah dan hijau disyaki dadah jenis pil kuda. Didapati empat paket plastik berwarna biru di dalam setiap satunya mengandungi 200 biji pil berwarna merah.


“Manakala satu lagi paket plastik berwarna biru di dalamnya berisi 170 biji pil berwarna merah dan 10 biji pil berwarna hijau. Jumlah keseluruhannya ialah 980 biji dipercayai pil kuda dianggarkan bernilai RM9,800 dan dirampas, selain itu segugus kunci rumah kedai itu juga turut dirampas.


“Bekalan disyaki dadah ini dipercayai untuk edaran tempatan dan berkemungkinan suspek belum sempat ‘berurusan’ dengan bekalan yang ada itu. Suspek seorang warga tempatan serta telah mempunyai rekod lampau berkaitan dadah,” katanya dalam sidang akhbar di IPD Hulu Terengganu, di sini, hari ini.


Tambah Mohd Adli,  ujian air kencing suspek menunjukkan positif dadah dan suspek kini ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini(semalam)  dengan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya.


Sementara itu, mengulas mengenai Ops Perdana Fasa 2 itu, Mohd Adli berkata seramai 56 orang berusia antara 14 tahun hingga 60 tahun berjaya dicekup dalam operasi bersepadu selama dua hari itu melibatkan pelbagai kesalahan berkaitan dadah.


Katanya lagi, daripada jumlah itu 47 orang adalah di bawah tindakan AADK, manakala selebihnya berada bawah tindakan pihak polis dan seorang remaja berusia 14 tahun antara yang dicekup itu sudah tidak bersekolah.


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]