Rosli pilih kerja bawa hasil rotan

in Edisi Melaka Negeri Sembilan by


KUALA PILAH – Dek kesukaran untuk mendapatkan bekalan rotan, kerja-kerja pengeluaran rotan kini masih dimonopoli oleh masyarakat Orang Asli di sini.


Ini diakui Rosli Singgah, 42, ketika ditemui di perkampungan Orang Asli Kampung Langkap, Tanjung Ipoh yang telah mengusahakan kerja mengeluarkan hasil rotan sejak 30 tahun lalu.


Menurutnya, warisan turun temurun dari nenek moyang sejak 100 tahun lalu perlu diteruskan demi generasi akan datang.


“Saya adalah generasi ketiga selepas ambil alih tugas dari ayah (Firdaus Abdullah, 64), setelah datuk berusia 100 tahun meninggal dunia.


“Melihat keadaan ayah yang uzur dan tak boleh melakukan kerja-kerja berat, saya mengalas tanggungjawab itu bersama adik keempat dari tujuh beradik, iaitu Rosman, 30.


“Dia turut bantu mengusahakan kerja-kerja mengeluarkan rotan dan kami dibantu oleh 20 anak buah,” katanya.


Ketika ditanya mengapa masih memilih pekerjaan tersebut, jelas Rosli, warisan dari nenek moyangnya perlu dipelihara.


“Bukan tak pernah cuba bekerja di bandar, tapi tak serasi dengan jiwa saya. Sudah tiba masanya saya perlu bantu keluarga.


“Bimbang tiada waris yang berminat melaksanakan kerja lasak ini, saya ambil tanggungjawab agar suatu hari nanti kerja sedemikian tidak akan terkubur begitu saja,” katanya.


Ujarnya, meskipun telah lebih ratusan tahun mengusahakan kerja pengeluaran rotan, namun bekalan rotan masih lagi banyak terdapat di dalam hutan Kampung Langkap dan mampu bertahan untuk beberapa generasi lagi.


“Saya percaya, selagi hutan ini tidak diceroboh, selagi itulah bekalan rotan masih ada.


“Kami juga sentiasa pelihara hutan ini supaya tidak pupus, selain memulihara anak-anak pokok rotan agar bekalan sentiasa berterusan,” katanya.


Menurut anak kedua ini, kerja-kerja mengeluarkan rotan bukan mudah kerana memerlukan tenaga dan masa yang secukupnya.


“Saya bersama adik, dan anak-anak buah masuk hutan selama dua minggu dengan membawa kelengkapan serta peralatan untuk bermalam. Setelah hasil rotan diperolehi, barulah kami pulang dan berulang-alik bawa hasil rotan dari hutan ke rumah.


“Kami juga ambil masa kira-kira empat jam untuk mengeluarkan hasil rotan sebelum dijual kepada pemborong.


“Antara rotan yang biasa diambil ialah, manau, dug, jelayan, rotan tanah dan banyak lagi. Setiap rotan dikerat sepanjang tiga meter dan diikat dengan 15 batang rotan sekali ikat. Setiap batang dijual dengan harga 50 sen sehingga RM3 mengikut saiz dan jenis rotan kepada pemborong,” katanya.


Source: SH Edisi Melaka NS

[featured-video-plus]