Rusia guna kuasa veto halang siasatan

in Global by


PERTUBUHAN BANGSA BERSATU – Rusia pada Selasa menggunakan kuasa veto ke atas deraf resolusi Majlis Keselamatan untuk melanjutkan mandat mekanisme siasatan bebas, bagi mencari dalang yang bertanggungjawab terhadap serangan senjata kimia di Syria, lapor agensi berita China Xinhua.


Deraf resolusi tajaan Amerika Syarikat (AS) itu, bertujuan untuk mendapatkan mandat selama setahun lagi, bagi membolehkan Mekanisme Penyiasatan Bersama (JIM) Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) dan panel Pertubuhan Larangan Senjata Kimia (OPCW) meneruskan siasatan.


Antara 15 anggota Majlis Keselamatan, 11 bersetuju, dua menentang iaitu Rusia dan Bolivia manakala China dan Kazakhstan berkecuali.


Undi ‘tidak’ menyokong oleh Rusia yang menjadi anggota tetap Majlis Keselamatan, menyaksikan deraf resolusi itu ditolak.


Terdahulu, Duta Rusia ke PBB, Vassily Nebenzia, mencadangkan penangguhan sehingga 7 November, dengan alasan lanjutan mandat perlu dibincangkan, selepas laporan JIM yang dijangka dikeluarkan dalam tempoh dua hari lagi.


Beliau berkata, undian tergesa-gesa seolah bertujuan “mengaibkan” Rusia.


Cadangan Rusia ditolak Majlis Keselamatan menerusi undian 8-4, dengan tiga berkecuali dan sekaligus membolehkan deraf resolusi berkenaan diundi.


Rusia kemudian menggunakan kuasa vetonya menyebabkan wakil AS dan British mengkritik tindakan itu dan menuntut JIM dilindungi.


Nebenzia berkata, kuasa veto Rusia itu bukan bermakna pengakhiran bagi JIM.


Majlis Keselamatan sebulat suara meluluskan JIM pada 2015 dan diperbaharui pada 2016 untuk setahun sehingga 17 November 2017. – Bernama


Source: SH Global

[featured-video-plus]