Sistem ramalan awal banjir dilaksana seluruh negara

in Nasional by


JITRA – Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) akan melaksanakan Program Sistem Ramalan Awal Banjir (PRAB) di seluruh negara secara berperingkat, kata Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Dr Hamim Samuri.


Beliau berkata sistem PRAB itu dapat meramalkan banjir sekurang-kurangnya dua hari sebelum bencana dan meningkatkan keupayaan sistem hebahan dan amaran banjir monsun daripada enam jam kepada dua hari lebih awal.


“Pada masa ini, tiga negeri iaitu Terengganu, Kelantan dan Pahang telah mempunyai sistem tersebut memandangkan tiga negeri di kawasan Pantai Timur itu sering dilanda banjir setiap tahun.


“Selepas ini, kami akan laksanakan di seluruh negara terutamanya negeri-negeri yang kritikal berdepan bencana banjir antaranya Kedah, Johor, Sabah dan Sarawak,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Sambutan Hari Inovasi JPS 2017 di sini, hari ini.


Pada 9 Oktober lalu, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar memaklumkan Fasa 2 sistem PRAB akan dilaksanakan dan tumpuan diberikan kepada negeri Kedah, Pulau Pinang dan Lembah Klang.


Sementara itu, Hamim berkata JPS perlu melihat dan menilai semula data taburan hujan berikutan jumlah kekerapan dan jumlah taburan hujan yang turun pada masa ini tidak selari dengan jumlah kekerapan sebelum ini akibat perubahan iklim.


“Data cuaca yang direkodkan ini tidak lagi relevan kerana pola-pola curahan hujan telah berubah dan melalui perolehan data baharu itu ia dapat membantu untuk merangka rancangan baharu mengenai tebatan banjir,” katanya.


Dalam perkembangan lain, beliau berkata Rang Undang-undang (RUU) Sumber Air Negara sedang diperhalusi dan berada pada peringkat akhir sebelum ia dapat dibentangkan pada persidangan parlimen.


“Pada awalnya, dijangkakan draf RUU itu akan dibentangkan pada persidangan parlimen hujung bulan ini tetapi melihat masa yang tidak cukup, kami tidak yakin ia dapat dibentangkan kali ini dan mungkin akan dibawa pada sesi akan datang,” katanya.


Antara cadangan draf RUU itu adalah mencari sumber tadahan air yang baharu berdasarkan perubahan taburan hujan yang tidak lagi jatuh di kawasan tadahan air yang dikhususkan dan cadangan untuk menambah baik sistem perparitan di seluruh negara. –Bernama




 


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]