Terlantar akibat kanser otak

in Edisi Utara by


SUNGAI PETANI – Kanak-kanak yang menghidap kanser otak tahap empat dari Sungai Lalang, di sini kini hanya mengharapkan keajaiban ALLAH SWT agar dapat sembuh dan mampu menjalani kehidupan seperti biasa.


Ibunya, Husna Naut, 43, berkata, keluarganya kini berusaha sedaya upaya mencuba rawatan alternatif bagi mengurangkan beban sakit yang ditanggung anak mereka, Muhammad Hafizudin Alias, 11, memandangkan tiada lagi rawatan yang disyorkan buat anaknya.


Menurutnya, biarpun sebelum ini anak ketiga daripada empat beradik itu mampu berdiri dan berjalan, namun sejak beberapa bulan kebelakangan ini dia tidak mampu lagi ke sekolah, malah hanya terlantar di katil sejak dua minggu lalu.


“Kaki kirinya dah tak kuat berdiri, sama macam tangan kiri. Cakap pun tak jelas. Seleranya kurang dan sendi-sendi badan dah mulai lemah,” katanya.


Husna berkata, anaknya yang dahulunya aktif berbasikal, bersembang dan melayan adiknya kini tidak mampu lagi bermain serta tidak lagi ceria seperti dahulu.


“Pembedahan kali pertama dilakukan pada 2013 bagi membuang sel kanser, kemudian pada 2015 kanser kembali mengganas hingga menyebabkan anak saya dibedah kali kedua,” katanya.


Menurutnya, kali ini doktor memaklumkan sel kanser sudah menyerang pusat otak, malah pembedahan kali ketiga agak berisiko menyebabkan keluarga tidak lagi membenarkan ia dilakukan.


Suaminya kini mengambil alih penjagaan Hafizudin sepenuh masa dan Husna sendiri masih bekerja sebagai guru taska dengan elaun sebanyak RM500 sebulan.


Sebarang sumbangan boleh disalurkan ke akaun CIMB bernombor 7615305034 atas nama Husna Naut.


Source: SH Edisi Utara

[featured-video-plus]