Tindakan pantas bomba berjaya elak api merebak

in Edisi by


KOTA BHARU -Tindakan pantas anggota bomba berjaya menyelamatkan tiga premis alat gantian kereta dari kebakaran di Pasir Tumboh di sini petang tadi.


Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 petang itu, hanya sebuah premis kedai berkenaan musnah namun tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian itu.


Ketua Operasi Kanan, Balai Bomba Dan Penyelamat Kelantan, Penolong Penguasa Bomba Hamzah Musa berkata, seramai 30 anggota dan pegawai dari Balai Bomba Kota Bharu, Tunjong, Pasir Tumboh dan Pengkalan Chepa dihantar ke lokasi kejadian.


“Turut membantu 24 anggota Pasukan Bomba Sukarela (PBS) dan kita sampai ke lokasi kejadian tidak sampai satu minit ekoran balai Pasir Tumboh tidak jauh dari kawasan kejadian.


“Kita terima panggilan awam pada jam 1.48 petang dan tiba di lokasi dengan kekuatan empat jentera, dua tangki air dan sebuah van unit paramedik bagi membantu melancarkan kerja-kerja pemadaman,” katanya.


Hamzah berkata, walaupun pihaknya mengalami kesukaran untuk memadamkan kebakaran ekoran terdapat barangan alat ganti yang banyak dalam kedai yang menghalang laluan namun pihaknya berjaya mengawal kebakaran.


“Api cepat merebak ekoran terdapat tayar dan barangan alat ganti kereta dan kemusnahannya melibatkan hampir 95 peratus termasuk barangan dan bangunan yang terbakar.


“Setakat ini kita masih jalankan siasatan bagi mengenal pasti punca dan kerugian akibatkan kebakaran itu,” katanya.


Source: SH Edisi Kelantan

[featured-video-plus]