Angkasa tunggu khabar gembira

in Nasional by


KUANTAN  – Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) mengharapkan Bajet 2018 yang akan dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak esok akan membawa khabar khabar gembira buat sektor koperasi.


Presidennya, Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata pertubuhan itu sendiri sebelum ini telah mengemukakan empat perkara semasa rundingan bajet dengan Perdana Menteri dalam pertengahan tahun ini.


“Kita mencadangkan empat perkara iaitu meminta supaya kerajaan menambah peruntukan Tabung Modal Pusingan yang biasa diberi antara RM50 hingga RM100 juta ditambah kepada RM500 juga setahun.


Kedua kita cadangkan menaikkan had minimum modal saham yang diberi pelepasan cukai daripada RM750,000 kepada RM1.5 juta selain kadar cukai korporat dikurangkan daripada 24 peratus kepada 21 peratus dan item perbelanjaan Mesyuarat Agung Tahunan boleh diambil kira untuk penolakan dalam cukai,” katanya.


Beliau berkata kepada pemberita selepas merasmikan Bengkel Hal Tuju Koperasi Orang Asli peringkat   negeri Pahang di sini, hari ini.


Katanya, sekiranya kerajaan dapat meluluskan permohonan itu akan dapat memberi manfaat kepada anggota koperasi yang selama ini banyak menyumbang untuk meningkat ekonomi negara.


Dalam perkembangan lain, Abdul Fattah turut mencadangkan supaya satu konsortium koperasi Orang Asli peringkat kebangsaan dapat ditubuhkan bagi mengembangkan lagi aktiviti yang boleh dilaksanakan.


Setakat ini, katanya hanya Pahang telah menubuhkan Konsortium Koperasi Orang Asli  peringkat negeri yang terdiri daripada  lebih 50 koperasi dengan keanggotaan lebih 13,000 orang di seluruh negeri itu.


Katanya, melalui penubuhan konsortium berkenaan dapat meningkatkan lagi peranan koperasi Orang Asli melalui gabungan yang dibuat dan secara langsung ia juga dapat memudahkan bantuan dapat disalurkan dan memberi impak yang lebih tinggi.


Katanya, cadangan berhubung perkara itu telah dimaklumkan melalui seminar serta taklimat dengan beberapa kepimpinan koperasi Orang Asli seluruh negara selain ia juga telah dikemukakan kepada Senator Orang Asli Isa Ab Hamid.- Bernama


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]