Bajet pembangkang janji tidak realistik

in Nasional by


SHAH ALAM – Bajet Alternatif yang dikeluarkan Pakatan Harapan semalam boleh dirumuskan kepada tiga perkataan iaitu tidak bertanggungjawab, tidak realistik dan tidak mampan.


Ini kerana menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan, janji-janji yang dibuat oleh pembangkang tidak akan mencipta pekerjaan, meningkatkan pendapatan atau mengurangkan kos sara hidup.


“Tahun demi tahun, pembangkang memperdayakan rakyat menunjukkan mereka hanya pandai berjanji.


“Mereka berjanji bahawa mereka akan berbelanja secara berhemah, memotong cukai dan mahu rakyat memilih harapan.


“Mereka tidak akan memberitahu rakyat perbelanjaan mengurus kerajaan Pulau Pinang meningkat berkali-kali ganda daripada RM252.3 juta (2007) kepada RM825.9 juta (2016) dan Selangor daripada RM1.15 billion (2008) kepada RM2.34 billion (2016),” katanya dalam kenyataan, hari ini.


Rahman dalam masa sama turut mendakwa janji yang ditabur pembangkang akan menyebabkan perniagaan berhenti mengambil pekerja, pekerja akan kehilangan pekerjaan, agensi penarafan akan menurunkan penarafan kredit bon kerajaan yang akan menyebabkan kos pinjaman kerajaan meningkat dan banyak kesan besar negatif yang akan melibatkan rakyat secara terus.


Menurutnya lagi, sekiranya pembangkang mengurus belanja secara berhemah, perbelanjaan mengurus mereka akan mencatatkan penurunan dan bukannya peningkatan.


“Mereka menjanjikan pemotongan cukai seperti memansuhkan GST dan mengurangkan kadar duti eksais ke atas kenderaan. Di samping itu mereka juga menjanjikan pemansuhan lebuhraya bertol, pendidikan percuma dan menjimatkan RM20 billion dengan membanteras rasuah.


“Ini belum mengambil kira fakta bahawa menghapuskan tol, menyediakan pendidikan percuma dan meningkatkan gaji minima akan menelan belanja beratus billion Ringgit untuk jangka masa panjang,” katanya lagi.


Seperti belanjawan alternatif tahun sebelum ini, kata Rahman lagi, pembangkang tidak mempunyai rancangan jelas untuk menampung kos membeli konsesi konsesi tol.


“Mereka juga tidak ada rancangan yang jelas bagaimana mereka akan membayar RM40 billion pinjaman PTPTN daripada institusi-institusi kewangan atau bagaimana mereka mahu menjimatkan RM20 billion setiap tahun dengan membanteras rasuah.


“Kita tidak patut memperjudikan masa depan kita dengan bergantung kepada janji-janji pembangkang yang tidak masuk akal. Kerajaan yang bertanggungjawab bukan sahaja memikirkan untuk jangka masa pendek, tetapi juga jangka masa panjang. Satu perkara yang boleh kita harap daripada pembangkang adalah, mereka kemungkinan besar akan keluar dari Dewan Rakyat semasa bajet sedang dibentangkan seperti mana mereka lakukan tahun lepas,” katanya lagi.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]