Bajet pembangkang populis, tidak realistik: Idris

in Nasional by


JASIN – Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron menyifatkan Bajet Alternatif 2018 yang dibentang Pakatan Harapan semalam, adalah populis dan tidak realistik, tanpa mengambil kira keadaan ekonomi semasa negara sebagai fokus utama sesebuah bajet.


Beliau berkata, belanjawan alternatif itu hanya ‘diceduk’ dengan mengambil kira berdasarkan tuntutan daripada kategori popular dan disukai rakyat, selain memansuhkan perkara sebaliknya.


“Saya tidak nampak pembangkang boleh datang dengan inisiatif sendiri untuk memakmurkan negeri dan negara melainkan mereka hanya lihat apa kerajaan laksanakan, (kemudian) sama ada mereka menambah lebih besar atau pun memansuhkan apa kerajaan buat.


“(Bagaimanapun) saya yakin rakyat tidak akan terpedaya dengan bajet ‘Pak Pandir’ yang dibentang pihak pembangkang kerana sekiranya inilah jenis kerajaan yang dipilih (oleh rakyat) nanti, (maka) ia akan merosakkan lagi apa yang telah kita bina selama ini,” katanya.


Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Anugerah Teknologi Pendidikan Melaka 2017 anjuran Bahagian Teknologi Pendidikan Melaka. Turut hadir Pengarah Pendidikan Melaka Abu Bakar Sahari.


Majlis itu bertujuan mengiktiraf warga pendidik dan pelajar yang melaksanakan beberapa program di sekolah dan mengambil bahagian dalam pelbagai pertandingan peringkat negeri dan kebangsaan sehingga melahirkan tokoh teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dalam kalangan guru dan murid negeri ini.


Terdahulu, Idris dalam ucapannya berkata bidang pendidikan masa kini lebih mencabar kreativiti guru-guru kerana proses pengajaran dan pembelajaran tidak lagi hanya tertumpu di dalam kelas seiring dengan perkembangan pesat teknologi.


“Kita sedia maklum teknologi maklumat dan komunikasi merupakan wadah penting dalam usaha kerajaan mencapai matlamat sebagai negara maju berpendapatan tinggi menjelang 2020 berikutan kadar penggunaan internet yang semakin meningkat.


“Justeru, peningkatan ini membuktikan usaha dan komitmen berterusan daripada kerajaan dalam mengembangkan budaya ICT kepada rakyat sebagai teras mewujudkan masyarakat berilmu dan bermaklumat dalam usaha mengurangkan jurang digital,” katanya. – Bernama


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]