Bangunan rumah kedai lama diberi nafas baru

in Edisi Melaka Negeri Sembilan by


NILAI – Bangunan rumah kedai lama dua tingkat di Pekan Lama Nilai bakal diberi nafas baru apabila akan diwarnai  semula bersempena Program Mewarnai Bangunan Warisan Pekan Nilai di bawah pelan tindakan Local Agenda 21 (LA 21).


Pemangku Setiausaha Majlis Perbandaran Nilai (MPN) Nazri A.Ghani berkata, program cat semula ini adalah bertujuan mengindahkan semula bangunan kedai lama yang kelihatan usang agar kembali ceria dan menarik.


Katanya, bagi fasa pertama ini, sebanyak 10 unit kedai lama akan terlibat daripada 22 unit bangunan rumah kedai lama dua tingkat di sepanjang jalan di Pekan Lama Nilai ini.


“Kerja-kerja mengecat merangkumi satu lapisan cat ‘undercoat’ dan dua lapisan cat kemasan di mana ia akan bermula pada hari ini dan dijangka siap dalam tempoh dua minggu.


“Kerja-kerja lain yang turut terlibat adalah kerja pembersihan pada permukaan dinding bangunan yang berlumut dan sebagainya termasuk menampal retak,” katanya pada Program Mewarnai Bangunan Warisan Pekan Nilai di sini.


Hadir sama, Timbalan Menteri Pendidikan, Senator Datuk Chong Sin Woon dan Pengurus Pentadbiran Akzo Nobel Paints (M) Sdn. Bhd merangkap Pengurus Projek berkenaan, Radzi Abd Rashid.


 


Source: SH Edisi Melaka NS

[featured-video-plus]