Diperdaya ah long dalam talian

in Edisi Johor by


JOHOR BAHRU – Pekerja kilang mengalami kerugian RM11,880 selepas diperdaya sindiket yang mengiklankan pinjaman peribadi menerusi laman sosial Facebook.


Badrul Hisham Mohd Yusoff, 44, berkata, dia terbaca iklan pinjaman peribadi itu pada 2 Oktober lalu.


Dia berhasrat membuat pinjaman RM20,000 untuk baik pulih rumah dan membayar hutang kerana tertarik dengan syarat ditawarkan.


“Saya kemudian menghubungi lelaki dikenali Farhan. Dalam perbincangan awal, dia memaklumkan mengenai syarat pinjaman dan saya bersetuju.


“Pada 5 Oktober lalu, saya ke bank untuk memasukkan wang proses  RM880 seperti diminta ke dalam akaun atas nama Amran Ismail,” katanya ketika ditemui bersama Pengerusi Pusat Aduan Rakyat (Amanah) Johor, Syed Othman Syed Abdullah dan Adun Johor Jaya, Liow Cai Tung di Taman Megah Ria di sini, semalam.


Badrul Hisham berkata, Farhan kemudian menghubungi dan meminta dia membayar yuran guaman RM3,000 yang kemudian dimasukkan ke dalam akaun sama pada 6 Oktober lalu.


“Kemudian, Farhan telah menghantar gambar transaksi wang (dalam talian) ke dalam akaun saya sebanyak RM23,000 melalui aplikasi WhatsApp dan memberitahu transaksi tidak berjaya kerana akaun saya telah diceroboh dan mempunyai masalah dengan sistem.


“Susulan daripada itu, Farhan meminta saya untuk memasukkan wang berjumlah RM5,000 atas alasan saya terpaksa membuka akaun semasa untuk memudahkan wang pinjaman dimasukkan bagi menggantikan akaun simpanan saya,” katanya.


Beliau berkata, pada 7 Oktober lalu, dia telah memasukkan wang RM5,000 terbabit ke dalam akaun Amran Ismail dan menerima gambar transaksi bank dalam talian melalui WhatsApp menyatakan permohonan telah diluluskan.


Katanya, pada 9 Oktober lalu, dia ke bank untuk mengeluarkan wang, namun mendapati tiada sebarang transaksi apabila semakan dibuat.


“Saya telah membuat pertanyaan kepada pegawai bank bertugas dan hasil semakan mendapati tiada sebarang transaksi berlaku dari 7 hingga 9 Oktober.


“Saya telah menghubungi Farhan bertanyakan perkara ini, namun Farhan memberitahu terdapat masalah antara bank syarikat dan bank peribadinya. Sebagai penyelesaian, Farhan minta saya membayar lagi RM5,000 sebagai bayaran ke pihak insurans PIDM bagi melindungi wang yang tersekat di Bank Negara,” katanya.


Badrul Hisham berkata, susulan daripada itu, dia memberitahu ingin membatalkan pinjaman dan Farhan memaklumkan perlu membayar RM2,000 bagi yuran guaman dan proses tersebut.


“Apabila saya meminta syarikatnya membayar (menerusi wang yang sudah dimasukkan), Farhan memberitahu saya syarikat hanya akan membayar jika pinjaman tidak lulus dan bukan pihak peminjam yang ingin batalkan.


“Dalam kes ini mereka menyalahkan saya kerana ingin membatalkan pinjaman sedangkan menurut mereka pinjaman saya telah diluluskan. Saya kemudian memasukkan wang diminta ke dalam akaun Amran Ismail sekali lagi pada 9 Oktober.


“Farhan berjanji akan memasukkan wang yang telah saya masukkan dari 5 hingga 9 Oktober berjumlah RM10,880. Pada 12 Oktober lalu, Farhan menghubungi saya memberitahu syarikat tidak boleh membuat bayaran semula kerana dokumen asal pinjaman saya masih belum dibatalkan dan saya terpaksa membayar RM1,000 dan saya telah memasukkan wang diminta,” katanya.


Beliau berkata, bagaimanapun sehingga kini, dia belum menerima sebarang bayaran daripada pihak syarikat terbabit dan Farhan seakan melarikan diri dengan tidak menjawab panggilan serta membalas kiriman Whatsappnya.


“Selepas itu, saya telah membuat carian semula di Facebook, namun laman syarikat berkenaan sudah tiada lagi,” katanya.


Sementara itu, Syed Othman berkata, pihaknya akan membawa pengadu ke Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) untuk tindakan susulan.


“Kita mahu SKMM block syarikat ini agar tiada lagi mangsa ditipu oleh tawaran pinjaman diiklankan. Semakan ke atas gambar transaksi wang diterima oleh pengadu menerusi WhatsApp, mendapati ia adalah palsu (diedit).


“Malah semakan dibuat juga mendapati sindiket ini menggunakan dokumen peribadi individu bernama Farhan dan Amran Ismail untuk memperdayakan orang. Saya berharap pihak berkuasa dapat menyiasat kes ini,” katanya.


Source: SH Edisi Johor

[featured-video-plus]