Kehidupan nelayan kini lebih baik

in Edisi Sabah Sarawak by


SANDAKAN – Kehidupan nelayan pada hari ini jauh lebih baik hasil daripada kesungguhan kerajaan yang sentiasa memikirkan dan merangka dasar untuk membela golongan ini.


Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Raymond Tan Shu Kiah berkata ia sejajar dengan komitmen kerajaan untuk mempastikan keadaan hidup masyarakat sentiasa dalam keadaan sejahtera dan harmoni.


“Kerajaan yang ada pada hari ini telah banyak menyediakan kemudahan infrastruktur, peruntukan yang banyak, aktiviti atau program kepada nelayan.


Ia adalah semata-mata mahu melihat kehidupan masyarakat nelayan sentiasa terbela agar kehidupan lebih baik.  Kesejahteraan keluarga nelayan juga akan terus terjamin,” katanya pada majlis penyampaian Elaun Tunai Sara Hidup Nelayan Daerah Sandakan di sini, hari ini.


Pada majlis itu, 1,039 orang nelayan masing-masing menerima elaun sara hidup nelayan RM300 seorang.


Tan yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian berkata untuk golongan nelayan sahaja, bantuan telah dimulakan dengan pemberian minyak diesel dan petrol bersubsidi setiap bulan sejak 2006.


Katanya ia diikuti pemberian Elaun Sara hidup Nelayan dan Insentif Tangkapan Ikan setiap bulan sejak 2008.


Menurutnya berikutan permintaan golongan, kerajaan pada 1 Januari 2015 telah menaikkan kadar bantuan Elaun Sara Hidup Nelayan daripada RM200 sebulan sebelum ini kepada RM300 sebulan.


Raymond berkata keperihatinan kerajaan untuk menjaga kebajikan para nelayan di negara ini bukannya bertujuan untuk memancing undi sepertimana dakwaan pihak pembangkang tetapi merupakan tanggungjawab dan amanah yang digalas bagi memastikan kehidupan nelayan tidak terpinggir.


Katanya golongan ini bukan sahaja majoritinya hidup susah tetapi juga bergantung sepenuhnya kepada hasil tangkapan yang kadang kala tidak menentu antaranya disebabkan oleh faktor cuaca.- Bernama


 


Source: SH Edisi Sabah Sarawak

[featured-video-plus]