Keluarga mangsa tanah runtuh dicari

in Edisi Utara by


GEORGETOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang sedang mencari anggota keluarga dan waris kepada dua mayat warga Myanmar yang maut dalam kejadian tanah runtuh di tapak projek perumahan mampu milik di Lengkok Lembah Permai, Tanjung Bungah di sini Sabtu lepas.


Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar Negeri, Phee Boon Poh berkata, mayat kini ditempatkan di Hospital Pulau Pinang.


Beliau berkata, pihaknya sedang bekerjasama rapat dengan Pejabat Kedutaan Myanmar di Malaysia dan pemaju projek terbabit bagi mengesan keluarga kedua-dua mangsa.


“Kerajaan negeri memberi tempoh sebulan kepada Kedutaan Myanmar untuk menguruskan prosedur menuntut kedua-dua mayat ini sebelum proses lanjut dilakukan.


“Setakat ini kami sedang menguruskan prosedur menghantar pulang lima jenazah warga Bangladesh yang turut terbabit dalam tragedi sama. Proses menghantar pulang kesemua mereka dijangka selesai hujung minggu ini,” katanya kepada pemberita hari ini.


Dalam insiden Sabtu lepas, kejadian tanah runtuh di tapak projek berkenaan meragut nyawa 11 pekerja terdiri daripada seorang rakyat tempatan; lima Bangladesh; dua Indonesia; dua  Myanmar dan seorang Pakistan apabila ditimbus tanah lereng bukit yang runtuh.


Ketika kejadian pada jam 8.57 pagi, kesemua mereka sedang bekerja di tapak projek pembinaan rumah mampu milik itu.


Sehingga ini sembilan mayat mangsa tragedi tanah runtuh itu telah dituntut waris masing-masing iaitu lima mayat warga Bangladesh, seorang mayat warga Pakistan, dua mayat warga Indonesia dan seorang mayat rakyat tempatan.


Boon Poh berkata, usaha mencari anggota keluarga kedua-dua mangsa warga Myanmar itu amat penting untuk memastikan sama ada mangsa beragama Islam atau Buddha.


“Dalam tempoh sebulan jika mayat masih belum dituntut kami akan menguruskan mayat-mayat terbabit.  Jika mayat itu bukan beragama Islam, kami akan bakar mayat itu dan abunya ditempatkan di satu kuil. Jika waris datang tuntut kita akan serahkan abu itu kepada mereka.


“Jika mayat terbabit beragama Islam kita serahkan kepada Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang untuk menguruskan urusan pengkebumian,” katanya.- Bernama


Source: SH Edisi Utara

[featured-video-plus]