Kementerian kaji penggunaan OBD pantau pemandu bas

in Nasional by


KUALA LUMPUR – Kementerian Pengangkutan sedang mengkaji penggunaan On-Board Diagnostics (OBD) Kamera untuk dipasang pada semua kenderaan komersial dalam usaha memantau sikap pemandu bas bagi memastikan tahap keselamatan terjamin.


Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, penggunaan kamera ini lebih berkesan dalam memantau sikap pemandu dan kelajuan bas.


“Ketika ini penggunaan kamera dipasang untuk penumpang sahaja, dan kementerian sedang mengkaji keperluan untuk memasang OBD kamera ini di dalam setiap bas komersial.


“Ia bagi membolehkan tindakan diambil dalam usaha mengawal tahap keselamatan kenderaan di atas jalan raya,” katanya menjawab soalan tambahan Datuk Dr Abd Latiff Ahmad (BN-Mersing) yang bertanyakan apakah penanda aras untuk mengukur kredibiliti seorang pemandu bas bagi memastikan kenderaan sentiasa selamat.


Tambah Tiong Lai setiap pemandu bas diwajibkan menjalani pemeriksaan kesihatan untuk mendapatkan Lesen Memandu Komersial selain mematuhi peraturan ditetapkan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).


“Pemandu bas juga tidak dibenarkan memandu melebihi lapan jam dan tertakluk kepada peraturan had laju yang ditetapkan.


“Pemandu bas juga boleh disenaraihitamkan sekiranya memiliki saman had laju dan tidak dibenarkan memandukan bas,” katanya.


Menjawab soalan lisan Abd Latiff, Tiong Lai berkata, banyak tindakan telah diambil dalam usaha mengurangkan kadar kemalangan jalan raya terutamanya membabitkan bas kilang.


Ia termasuk melaksanakan prosedur Kelulusan Jenis Kenderaan (VTA) terhadap setiap modul baru bagi memastikan setiap kenderaan mematuhi  piawaian pembinaan dan keselamatan ditetapkan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.


“Penggunaan brek atau lampu kenderaan yang gagal berfungsi dengan baik dan tidak mengikut spesifikasi boleh diambil tindakan. Kerana itu setiap kenderaan perlu melalui pemeriksaan di Puspakom.  


“Bagi kes membabitkan bas kilang di Juru, kedua-dua bas terlibat telah melalui pemeriksaan di Puspakom pada September lalu,” katanya menjawab soalan Abd Latiff yang meminta Menteri Pengangkutan menyatakan apakah tindakan kementerian terhadap pengusaha bas kilang yang menyediakan bas tidak selamat digunakan bagi mengelak tragedi kemalangan jalan raya yang mengorbankan nyawa pekerja.


Terbaharu kemalangan maut membabitkan dua bas kilang sehingga menyebabkan lapan maut dan 35 cedera, amat serius.


Kadar kemalangan jalan raya di negara ini semakin meningkat. Pada 2016  kemalangan jalan raya maut mencatat sebanyak 7,152 kes.


 


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]