Keputusan rayuan kes Adun pada tarikh ditetapkan

in Semasa by


KUCHING – Mahkamah Rayuan menetapkan untuk menyampaikan keputusan berhubung rayuan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang mengekalkan Dr Ting Tiong Choon sebagai Adun Pujut pada tarikh yang akan ditetapkan kemudian.


Terdahulu, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang bersidang di sini, hari ini iaitu  Datuk Abang Iskandar Abang Hashim, Datuk Mary Lim Thiam Suan dan Datuk Harminder Singh Dhaliwal membuat ketetapan itu selepas mendengar hujahan daripada pihak-pihak dalam kes itu.


Pendengaran itu bermula pada 9.30 pagi itu berakhir pada kira-kira 7.15 malam ini.


Rayuan itu dikemukakan Speaker Dun Sarawak Datuk Amar Mohd Asfia Awang Nassar, Menteri Kewangan Kedua Sarawak Datuk Wong Soon Koh,  Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Dun Sarawak.


Mohd Asfia diwakili  peguam kanan Tan Sri Cecil Wilbert,  Mohanaraj Abraham dan Shanker Ram Asnani,  Wong diwakili George Lo dan Jonathan Tay,  Dun Sarawak diwakili Datuk Talat Mohamad dan Safri Ali, SPR diwakili  Azizan Mat Arshad dan Shamsul Bolhassanmanakala Dr Ting diwakili  Chong Siew Chiang, Tan Kee Heng, Wong King Wei dan Micheal Kong.


Peguam mewakili keempat-empat perayu dalam hujahan mereka menegaskan adalah tidak masuk akal untuk seorang yang tidak berkelayakan sebagai Adun menghadiri persidangan Dun.


Peguam mewakili  Dr Ting, pula berhujah Dun tidak mempunyai kuasa untuk melucutkan kelayakan mana-mana anggotanya dan menambah kes berkenaan sepatutnya dibawa ke Mahkamah Pilihan Raya.


Pada 12 Mei, Dun Sarawak memutuskan dengan undi majoriti, untuk melucutkan kelayakan Dr Ting sebagai Adun Pujut kerana mempunyai kewarganegaraan Australia dan Malaysia.


Dr Ting, 52, memfailkan saman pemula bagi mencabar pelucutan kelayakannya dan pada 17 Jun tahun ini, Mahkamah Tinggi Kuching membenarkan tuntutannya dan mengekalkannya sebagai Adun Pujut. – Bernama


Source: SH Semasa

[featured-video-plus]