Konkrit runtuh, pekerja tapak pembinaan cedera

in Uncategorized by


IPOH – Sebuah tapak pembinaan perumahan di Meru Raya diarahkan menghentikan kerja buat sementara waktu berikutan berlakunya runtuhan konkrit yang menyebabkan seorang pekerja warga Bangladesh cedera, hari ini.


Ketika kejadian kira-kira jam 1.40 petang itu, satu daripada tiang konkrit bahagian atas bangunan rumah dua tingkat yang dalam pembinaan itu tumbang dan mengenai seorang daripada empat pekerja warga asing yang berada di situ.


Mangsa berusia lingkungan 30an hanya mengalami cedera ringan di kaki serta tangan dan berjaya keluar dari kawasan runtuhan, dibantu rakan sekerja yang berada di lokasi kejadian.


Ketua Zon 1 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Mohd Khairul Jamil berkata, buat masa ini pemantauan rapi dilakukan di tapak runtuhan bagi mengelak sebarang kejadian lebih buruk berlaku.


“Kita akan memanggil dan adakan perbincangan bersama Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), Jabatan Kerja Raya (JKR) serta agensi lain bagi melihat kes ini secara lebih terperinci.


“Ini bagi memastikan kawasan ini benar-benar selamat sebelum kerja pembinaan dapat diteruskan,” katanya.


Source: SH Edisi Perak

[featured-video-plus]