MyE-Portfolio bantu siswa

in Nasional by


SERDANG – Perlaksanaan MyE-Portfolio akan menjadi platform terbaik buat mahasiswa mempamerkan bakat, keupayaan dan kemahiran untuk dinilai pihak industri secara menyeluruh.


Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, usaha yang kini dijalankan dengan kerjasama lima institusi pengajian tinggi awam (IPTA) adalah selaras dengan Pentaksiran Purata Nilai Gred Kumulatif Bersepadu (iCGPA), di mana penuntut dinilai secara lebih holistik.


Menurutnya, lima IPTA tersebut ialah Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM).


“MyE-Portfolio adalah resume digital yang menilai kemahiran dan kebolehan melalui refleksi, pengalaman serta hasil pembelajaran mahasiswa yang berlangsung di kampus.


“Portal yang dibangunkan di setiap universiti awam akan menjadi platform kepada penuntut  mempamerkan kebolehan secara kualitatif melalui jurnal, imej, video atau multimedia,” katanya pada sidang media Pelancaran MyE-Portfolio Mahasiswa Peringkat Nasional, semalam.


Hadir sama, Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan Tinggi, Datuk Ir Dr Siti Hamisah Tapsir dan Naib Canselor UPM, Prof Datin Dr Aini Ideris.


Mengulas lanjut, Idris berkata, kaedah terbaru itu juga dilihat memudahkan, bukan sahaja graduan, malah kepada industri dalam pemilihan calon pekerja berkualiti.


“Diharap dengan MyE-Portfolio ini, graduan akan lebih senang dihubungi majikan, selain mempelajari teknologi terkini.


“Begitu juga kepada pihak industri, mungkin tidak perlu lagi mengadakan sesi temu duga untuk mencari calon pekerja yang layak kerana selepas ini mereka hanya perlu ke portal disediakan untuk memilih calon sesuai,” katanya.


Menurutnya, buat masa ini hanya lima IPTA yang menjadi perintis membangunkan MyE-Portfolio dan diharap dapat diimplementasikan oleh semua mahasiswa di institut pendidikan tinggi seawal semester pertama.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]