Najib diminta semak Belanjawan Pakatan Harapan

in Nasional by


SHAH ALAM – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak diminta menyemak Belanjawan Alternatif Pakatan Harapan 2018 yang dilancarkan semalam oleh Presiden Pakatan Harapan, Dr Wan Azizah Wan Ismail semalam.


Ketua Pemuda Pakatan Harapan, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, Najib sepatutnya mencontohi langkah Pakatan yang telah memperincikan Bajet dengan mengurangkan pembaziran dan rasuah serta lonjakan kutipan cukai peniagaan ekoran pemulihan kuasa beli mampu mengganti hasil dari GST.


“Saya tidak tahu mahu gelak atau marah dengan kenyataan Najib yang GST bukan sahaja berjaya mengelakkan Malaysia mengalami kemelesetan akibat kejatuhan harga minyak dunia pada tahun 2014, namun menjadikan ekonomi negara terus berkembang.


“Secara umumnya, GST telah memberi kesan kepada semua golongan termasuk golongan pertengahan dan juga miskin kerana kebanyakan barangan utama telah dikenakan cukai tersebut sejak dilaksanakan pada April 2015,” katanya dalam kenyataan, hari ini.


Menurutnya lagi, pelaksanaan GST menyebabkan kuasa beli rakyat semakin menurun kerana kenaikan harga barangan dan kos sara hidup yang meningkat di mana ekonomi rakyat juga terancam apabila GST dilaksanakan.


“Di kala harga barangan naik, gaji pula tidak selaras dengan kenaikan tersebut. Bagaimana mereka mahu membeli barang keperluan?


“Malah, banyak juga rungutan para peniaga daripada sektor perusahaan kecil dan sederhana yang terpaksa menutup perniagaan kerana tidak mampu lagi menampung kos GST dan pelanggan kurang berbelanja. Cukai tidak popular ini tidak pun membantu rakyat di kala kerajaan mengutip GST hampir RM42 bilion setahun, subsidi komoditi rakyat seperti minyak, minyak masak, gula dan beras ditarik balik dan peruntukan sektor asas pendidikan dan kesihatan dipotong. Mengapa ini terjadi?” soalnya.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]