Nasib balu ahli PVTTB dibela

in Edisi Terengganu by


DUNGUN – Nasib seorang warga emas, Kamariah Ismail, 75, yang kini sakit terlantar terbela apabila mendapat perhatian Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) dan Persatuan Veteran Tentera Tidak Berpencen (PVTTB) Terengganu.


Kamariah lumpuh akibat serangan strok sejak setahun lalu dan tinggal bersama anaknya, Othman Abdul Ghani, 55 selepas suami meninggal dunia pada 2004.


Arwah suaminya, Abdul Ghani Chik adalah salah seorang ahli PVTTB dan walaupun sudah meninggal dunia nasib keluarganya tidak dipinggirkan.


Setiausaha PVTTB Terengganu, Suhaini Donik berkata, bantuan peralatan untuk kemudahan Kamariah menjalani kehidupan seharian telah disampaikan dengan harapan dapat mengurangkan beban ditanggung.


“Antara peralatan yang diserahkan kepada Kamariah ialah kemudahan katil, tilam angin dan kerusi roda.


“Pesakit difahamkan tidak boleh bergerak sejak setahun lalu kerana serangan strok,” katanya kepada pemberita.


Hadir sama, Timbalan Pengarah JHEV Cawangan Kelantan/ Terengganu, Mohd Faizal Jamil yang menyempurnakan acara penyampaian bantuan kepada Kamariah di rumahnya di Kampung Gong Pasir.


Kata Suhaini, bukan sahaja kemudahan peralatan pesakit tetapi beberapa lagi bantuan turut disalurkan kepada Kamariah.


“Warga emas ini adalah salah seorang penerima skim bantuan sara hidup dan skim bantuan baik pulih rumah. Baik pulih rumahnya siap beberapa minggu lepas,” katanya.


Katanya, PVTTB Terengganu berterima kasih kepada JHEV yang komited dalam membantu ahli-ahli veteran.


“Dengan bantuan dan perhatian yang diberikan nasib bekas-bekas tentera atau ahli lebih terbela,” katanya.


Source: SH Edisi Terengganu

[featured-video-plus]