Pangkalan data semak status kelulusan akademik

in Nasional by


KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Tinggi membangunkan pangkalan data pemegang ijazah Doktor Falsafah (PhD) bagi semua universiti awam bagi memudahkan semakan secara setempat dalam usaha membendung isu perolahan kelulusan akademik palsu.


Timbalan Menterinya, Datuk Dr Mary Yap Kain Ching berkata, pangkalan data tersebut juga boleh digunakan untuk menyemak senarai penerima Anugerah Ijazah Kehormat, Profesor Emeritus, Profesor Diraja dan Profesor Ulung.


Menurutnya, setakat ini semua data disimpan oleh universiti masing-masing.


“Kementerian juga bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) bagi menyekat mana-mana laman sesawang yang disyaki menawarkan ijazah palsu melalui internet.


“Selain itu kementerian juga bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam menyalurkan maklumat berkenaan penjualan kelulusan akademik palsu.


“Jenayah ini merupakan satu bentuk penipuan yang perlu diambil tindakan. Kementerian telah membuat laporan berhubung sindiket ini pada 10 Februari dan 2 Oktober lalu,” katanya menjawab soalan lisan Datuk Kamarul Baharin Abbas (PKR-Telok Kemang).


Kamarul dalam soalan lisannya meminta KPT menyatakan status terkini usaha kerajaan dalam memantau dan meneliti sindiket berkaitan pemalsuan sijil diploma dan sarjana melibatkan universiti tempatan dan luar negara.


Sementara itu, kerjasama turut diadakan dengan institusi pengajian tinggi awam dan swasta dalam memastikan masyarakat khususnya majikan dapat membuat semakan rekod penganugerahan kelulusan akademik kepada bakal kakitangan yang ingin diambil bekerja.


“Kementerian Luar Negeri juga telah mengemukakan nota diplomatik ke negara yang disyaki menjadi lokasi hos server laman sesawang yang menawarkan sijil akademik palsu,” katanya.


Katanya, langkah ini penting bagi memaklumkan pihak berkuasa negara terbabit supaya tindakan lebih berkesan dapat diambil terhadap laman sesawang yang melanggar undang-undang di negara ini.


“Dengan jalinan kerjasama dalam dan luar negara, isu penjualan kelulusan akademik palsu dapat dibendung.


“Pihak majikan juga diingatkan agar menyemak kelayakan akademik individu tertentu sama ada tulen atau sebaliknya,” katanya.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]