Pemaju diberi masa seminggu bertemu pembeli

in Edisi Utara by


GEORGETOWN – Kerajaan DAP Pulau Pinang hari ini mendesak pemaju projek perumahan mampu milik di Lengkok Lembah Permai, Tanjung Bungah di sini yang dilanda tanah runtuh Sabtu lepas, untuk bertemu pembeli bagi menerangkan mengenai apa yang berlaku dan situasi semasa kepada pembeli rumah itu.


Ketua Menteri, Lim Guan Eng berkata, pihaknya memberikan masa seminggu kepada pemaju projek, Taman Sri Bunga Sdn Bhd, untuk menyelesaikan semua perkara berbangkit dengan pembeli.


“Kalau  tidak kerajaan negeri akan campur tangan dalam kes ini bagi pihak pembeli,” katanya pada sidang akhbar, di sini hari ini.


Dalam  insiden Sabtu lepas, kejadian tanah runtuh di tapak projek berkenaan meragut nyawa 11 pekerja terdiri daripada seorang rakyat tempatan; empat Bangladesh; dua Indonesia; tiga Myanmar dan seorang Pakistan apabila ditimbus tanah lereng bukit yang runtuh.


Ketika kejadian pada jam 8.57 pagi, kesemua mereka sedang bekerja di tapak projek pembinaan rumah mampu milik itu.


Guan Eng berharap Suruhanjaya Siasatan Pulau Pinang mengenai kejadian tanah runtuh yang telah ditubuhkan dapat mencari punca dan menghukum mereka yang bertanggungjawab bagi memberi keadilan kepada mangsa-mangsa yang terlibat.


“Kami tentu akan uruskan semua dokumen perundangan supaya suruhanjaya ini dapat diwartakan. Dalam kes ini, laporan polis pun sudah dibuat oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang.


“Kita serahkan kepada polis untuk jalankan siasatan serta mana-mana pihak yang nak jalankan siasatan termasuk DOSH (Jabatan Keselamatan dan Kesihatan) yang mentakrifkan kejadian ini sebagai kemalangan di tapak pembinaan,” katanya.


Sementara itu, Datuk Bandar MBPP Datuk Maimunah Mohd Sharif yang turut hadir pada sidang akhbar itu menjelaskan Jabatan Perancang Bandar dan Desa (JPBD) tidak mempunyai halangan terhadap pembangunan projek itu di kawasan berkenaan.


Beliau berkata, dalam surat bertarikh 11 Dis 2014, JPBD memaklumkan bahawa jabatan itu pada dasarnya tiada halangan ke atas permohonan kebenaran untuk membina satu blok rumah pangsa mampu milik 53 tingkat yang mengandungi dua menara 38 tingkat, podium tempat letak kenderaan 12 tingkat dan satu tingkat kemudahan masyarakat di atas sebahagian Lot 4510, Mukim 18, Lorong Lembah Permai 3, Tanjung Bungah.


“Dari segi tapak, rujuk kepada Jabatan Mineral dan Geosains mereka juga tiada halangan terhadap kemajuan projek ini. Sekali lagi saya ingin memaklumkan Jabatan Mineral dan Geosains yang mempunyai tugas dari segi tanah, kuari, letupan dan sebagainya turut tiada halangan terhadap projek ini,” katanya.-Bernama


Source: SH Edisi Utara

[featured-video-plus]