Peraturan baharu tak jejas penerjun negara: Asum

in Sukan by


PENERJUN negara dijangka tidak mempunyai masalah untuk menyesuaikan diri dengan peraturan baharu diperkenalkan pada Kejohanan Terjun Grand Prix FINAL 2017 yang bermula di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil, di sini, hari ini.


Setiausaha Kesatuan Renang Amatur Malaysia (Asum), Mae Chan berkata, antara peraturan baharu tersebut ialah penerjun tidak dibenarkan melompat dan menghayun tangan dua kali sebelum membuat terjunan.


“Mereka perlu berhati-hati dengan kaedah melakukan terjunan kerana jika gagal mematuhi peraturan baharu itu maka terjunan tersebut dibatalkan,” katanya kepada media selepas mesyuarat teknikal kejohanan tersebut.


Beliau yakin Malaysia sekurang-kurangnya mampu meraih dua pingat emas dengan mudah ekoran tidak terjejas dengan peraturan baharu tersebut.


Sementara itu, ketua jurulatih negara, Yang Zhuliang berkata anak didiknya tidak mempunyai masa latihan yang panjang selepas Sukan Sea ke-29 Kuala Lumpur 2017 (KL2017) berakhir Ogos lepas.


Namun, jurulatih dari China itu yakin dan memberi jaminan bahawa prestasi  penerjun negara adalah lebih baik berbanding aksi di KL2017 di mana Malaysia menyapu bersih 13 pingat emas yang dipertandingkan.


“Pasukan negara berlatih seperti biasa namun ada kekurangan sedikit kerana kita tidak mempunyai ‘harness’ yang digunakan untuk membuat terjunan ketika latihan. Jika ada ‘harness’ mungkin kita boleh berlatih terjun setiap hari di gym,” katanya.


Kejohanan Terjun Grand Prix FINA 2017 Kuala Lumpur menawarkan 10 pingat emas.- Bernama


Source: SH Sukan

[featured-video-plus]