Rayu lepaskan isteri atas tuduhan mencuri motosikal

in Edisi by


KUALA TERENGGANU – Seorang lelaki menangis teresak-esak merayu Mahkamah Majistert Kuala Terengganu, hari ini, melepaskan isterinya atas tuduhan mencuri motosikal bersama-samanya.


“Tolong lepaskan isteri saya sebab dia tidak tahu apa-apa tentang motosikal curi itu, yang salah adalah saya,” rayu tertuduh Muhamad Amirul Ikhram Muhamad, 22, dari Seberang Marang, Marang, selepas mengaku salah atas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.


Berdasarkan pertuduhan, Muhamad Amirul Ikhram dari dan isterinya, Nur Atifah Mat Rani, 20, dari Panji Alam ,di sini, didakwa bersama-sama mencuri sebuah motosikal Honda C100, milik Nor Jala Ngah, 54, pada 11 Oktober lalu.


Pasangan suami isteri tersebut didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan dan dibaca bersama-sama Seksyen 34 Kanun yang sama di hadapan Kolej Politeknik Kuala Terengganu, Jalan Sultan Ismail, kira-kira jam 11 pagi.


Dengan itu, pasangan kepada dua anak ini berdepan hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak melebihi tujuh tahun dan boleh juga dikenakan denda, jika disabitkan kesalahan.


Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor Miky Dunstan Muda di hadapan Majistert Abdul Hayyi Salim.


Sejurus pengakuan salah tertuduh direkodkan dan mempertimbangkan rayuan dibuat, Abdul Hayyi menjatuhkan hukuman setahun penjara sebelum membenarkan isteri tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM2,500 dan menetapkan 8 November depan sebagai tarikh sebutan semula kes.


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]