Suami aktres dibunuh kerana harta pusaka

in Global by


SEOUL – KOREA SELATAN. Suami aktres Korea Selatan, Song Sun-mi, dibunuh oleh seorang lelaki yang diupah sepupu mangsa yang marah ekoran perebutan harta pusaka keluarga, lapor agensi berita Yonhap memetik kenyataan pihak pendakwaan pada Khamis.


Perkara itu didedahkan oleh Pejabat Pendakwa Daerah Pusat Seoul ketika mengumumkan hasil siasatan kes pembunuhan seorang pengarah seni berusia 44 tahun, yang hanya dikenal pasti dengan nama terakhirnya, Koh.


Mangsa ditikam sehingga mati di bahagian leher di sebuah firma guaman di Seoul pada Ogos.


Pihak pendakwaan telah mendakwa sepupu Koh, seorang kacukan Korea-Jepun dengan nama keluarga Kwak, atas pertuduhan mendalangi pembunuhan itu, dan penyerangnya, dikenali hanya dengan nama keluarga Cho, atas pertuduhan membunuh.


Mereka mendapati Kwak menghasut Cho supaya membunuh sepupunya dan menjanjikan wang sebanyak 2 billion won (US$1.78 juta) sebagai pampasan.


Kwak dan Koh terlibat dalam pertikaian undang-undang berkaitan harta pusaka datuk mereka di Seoul yang bernilai kira-kira 68 billion won (US$60.48 juta).


Koh telah memfailkan aduan terhadap Kwak kerana mendakwa sepupunya itu bersama dua lagi individu telah memalsukan dokumen untuk menukar nama pemilik beberapa aset membabitkan harta pusaka itu.- Bernama


 


Source: SH Global

[featured-video-plus]