Suami isteri trauma diserang dua penyamun

in Edisi Utara by


KUALA NERANG – Jeritan seorang warga emas meminta pertolongan menggagalkan cubaan samun dua lelaki bertopeng yang memecah masuk rumahnya di Kampung Bukit Nyamuk, Mukim Tualak di sini, hari ini.


Anak mangsa, Mohd Khamirol Hisham Abdullah, 40, berkata, ketika kejadian pada jam 8.30 pagi itu, ibunya, Radziah Ramli,65, menyediakan sarapan pagi untuk bapanya, Abdullah Mat Isa,74 di dapur.


Menurutnya, bagaimanapun tiba-tiba dua pemuda berusia lingkungan 20an menceroboh rumahnya melalui pintu belakang dan menangkap ibunya.


“Kedua-dua lelaki pakai topeng itu menutup mulut ibu dengan pita pelekat hingga dia tak mampu buka mulut untuk minta pertolongan. Kedua-dua kaki dan tanganya juga turut diikat dan dibiarkan ibu saya berada di dapur seorang diri.


“Kemudian kedua-dua lelaki itu pergi ke ruang tamu dan mereka sangka bapa saya sedang tidur lalu cuba menangkapnya pula,” katanya.


Menurutnya, mujur ketika itu bapanya yang diacukan pisau di leher sempat melawan penjenayah terbabit.


Katanya, bapanya yang dilibas dengan parang di bahagian belakang badannya beberapa kali kemudiannya berlari keluar dan meminta pertolongan dari rumah kakaknya yang terletak berhampiran.


Mohd Khamirol berkata, jeritan bapanya menyebabkan beberapa cucunya keluar dan masuk  namun penjenayah terbabit didapati sudah melarikan diri.


Menurutnya, kejadian itu menyebabkan ibu dan bapanya cedera serta dirawat sebagai pesakit luar di  Hospital  Kuala Nerang.


“Oleh kerana mereka berdua masih lagi trauma, saya akan ambil untuk  tinggal bersama, sehinggalah mereka pulih kembali semangat sepenuhnya,” katanya.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Padang Terap, Deputi Superintendan Noh Idris ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan memaklumkan kes berkenaan  akan disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan .


Source: SH Edisi Utara

[featured-video-plus]