Taklimat ingatkan kesalahan berkaitan integriti

in Nasional by


KUALA LUMPUR – Institut Integriti Malaysia (Integriti) sedia berkongsi kandungan Taklimat Integriti kepada semua pihak demi kepentingan budaya berintegriti dalam masyarakat hari ini.


Ketua Pegawai Eksekutifnya,  Datuk Dr. Anis Yusal Yusoff berkata, taklimat tersebut disarankan untuk digunakan oleh semua pihak sebagai usaha untuk memperingati masyarakat tentang perkara-perkara yang didapati melanggari peraturan dan undang-undang.


Menurutnya, antara peringatan terkandung dalam Taklimat Integriti yang disyorkan itu adalah tindakan-tindakan melanggar peraturan apabila mengemukakan tuntutan, menggunakan peralatan atau kelengkapan pejabat bagi kegunaan peribadi, dan menggunakan kedudukan atau jawatan bagi mendapatkan faedah-faedah tertentu.


“Lazimnya kita melihat ada Taklimat Keselamatan, tetapi aspek budaya berintegriti yang penting tidak dititikberatkan sebelum ini.


“Oleh itu, adalah dicadangkan sebelum sesuatu majlis dimulakan, seperti mana taklimat keselamatan, elok juga untuk diberi peringatan tentang kesalahan-kesalahan berkaitan integriti,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.


Difahamkan, satu resolusi menyokong amalan Taklimat Integriti dikeluarkan dan disaran untuk diangkat ke peringkat negara-negara Asean.


Anis Yusal berkata, usaha memupuk budaya berintegriti tinggi bukan hanya terletak di bahu agensi atau institut seperti Integriti tetapi memerlukan peranan bersama semua lapisan masyarakat.


“Usaha pemupukan budaya ini adalah kerja berterusan dan berjangka panjang. Tadbir urus baik adalah penting bagi membantu rakyat melepasi kitaran kesukaran hidup,” katanya.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]