Tambah baik skim insurans

in Edisi Johor by


PONTIAN – Golongan nelayan di daerah ini berharap elaun sara hidup yang diterima ditingkatkan jumlahnya bersesuaian dengan keadaan ekonomi semasa selain mahu kerajaan terus menjaga kebajikan mereka.


Sejumlah kira-kira 3,000 nelayan terdiri dari nelayan pantai, nelayan sungai dan nelayan pukat tunda mencari rezeki di daerah ini yang terbahagi kepada dua persatuan iaitu Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Pontian dan PNK Johor Selatan.


PNK Pontian merangkumi kawasan di Tampok sehingga Pontian manakala bagi kawasan di sekitar Tanjung Piai, Kukup, Jeram Batu terletak di bawah PNK Johor Selatan.


Pengurus PNK Pontian, Hairul Saat berkata, sejumlah 1,340 ahli dengan 637 nelayan termasuk awak-awak bot berdaftar direkodkan di bawah persatuan nelayan setakat ini.


Menurutnya, jumlah tersebut dianggap agak besar sekali gus menunjukkan nelayan merupakan antara pekerjaan utama penduduk di daerah ini.


“Sebagai golongan terpenting yang memacu ekonomi daerah Pontian, tumpuan perlu diberikan dalam Bajet 2018 bagi meningkatkan taraf hidup nelayan,” katanya.


Hairul berkata, kebanyakan nelayan mengharapkan kerajaan pusat dapat menyediakan peruntukan tambahan bagi menambah baik skim perlindungan insurans nelayan sedia ada.


Katanya, pekerjaan sebagai nelayan yang berdepan cabaran di tengah laut sememangnya cukup berisiko lebih-lebih lagi dalam keadaan cuaca ribut yang tidak menentu.


“Di bawah skim perlindungan insurans, nelayan yang meninggal dunia semasa ke laut akan diberi pampasan kira-kira RM150,000.


“Bagi yang meninggal di darat pula akan diberi pampasan sebanyak RM100,000 kepada pihak waris. Nelayan hanya perlu membayar RM100 setiap tahun untuk mendapatkan perlindungan insurans yang diperkenalkan kerajaan pusat pada 2012,” katanya.


Hairul berpendapat masih terdapat banyak aspek yang perlu ditambah baik bagi membolehkan lebih ramai nelayan dilindungi di bawah skim insurans tersebut.


“Bagi nelayan yang mengalami kecacatan fizikal kekal, mereka sepatutnya diberikan pencen bulanan. Ini kerana kebiasaannya selepas alami kecacatan fizikal seperti patah kaki dan tangan atau buta, mereka tidak boleh lagi ke laut.


“Timbul persoalan bagaimana mereka hendak meneruskan hidup dan menyara keluarga. Jadi kami berpandangan jika ada bayaran bulanan seperti mana yang dilakukan Perkeso kepada pekerja swasta, ia amat baik untuk melindungi nelayan,” katanya.


Tegas Hairul, cadangan berkenaan bukan setakat cakap kosong, sebaliknya PNK Pontian sudah menyiapkan kertas cadangan bagi menambah baik skim perlindungan insurans  tersebut.


“PNK Pontian akan kemukakan kertas cadangan penambahbaikan skim perlindungan insurans nelayan kepada kerajaan negeri secepat mungkin.


“Antara cadangannya termasuk memberikan bayaran pencen kepada nelayan berusia 65 hingga 70 tahun yang tidak dapat turun ke laut disebabkan faktor usia,” katanya.


Tingkat elaun sara hidup


Hairul berkata, kenaikan elaun sara hidup amat ditunggu-tunggu nelayan yang turut terbeban dengan kenaikan harga barang terutama peralatan menangkap ikan.


Katanya, elaun sara hidup sebanyak RM300 diterima nelayan pantai Zon A, manakala bagi nelayan pukat tunda Zon B menerima RM250 sebulan.


“Lima tahun lalu, nelayan masih boleh tersenyum melihat jaring mereka rosak sebab harga jaring ketika itu masih rendah. Tetapi sekarang harga jaring mencecah RM80.


“Manakala bagi bot fiber pula harganya meningkat naik dengan mendadak sehingga RM6,000. Kenaikan harga ini memeningkan nelayan,” katanya.


Sementara itu nelayan yang ditemui, Samsudin Aziz, 48, memohon kerajaan supaya mengecualikan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) bagi peralatan tangkapan ikan yang digunakan oleh nelayan.


“Elaun yang diberikan kerajaan sebanyak RM300 sebulan bukan sahaja digunakan untuk menampung kos kehidupan nelayan tetapi juga untuk membeli peralatan tangkapan ikan seperti jaring.


“Saya berharap kerajaan dapat meningkatkan pemberian elaun sebanyak RM400,” katanya.


Latihan kemahiran kepada anak nelayan


Seorang lagi nelayan, Mohd Imam Yahya, 26, berkata, dia pula mahu latihan kemahiran diberikan kepada anak-anak nelayan supaya pekerjaan sebagai nelayan mempunyai generasi penyambung.


“Pekerjaan sebagai nelayan sebenarnya amat berisiko. Justeru nelayan muda perlu diberikan latihan dan pendedahan terhadap teknologi baharu.


“Penggunaan teknologi baharu dalam bidang perikanan dapat meningkatkan hasil pendapatan seperti dilakukan nelayan-nelayan di negara maju seperti Jepun,” katanya.


Bagi Yaakob Mohd Said, 50, pula berharap berita gembira kenaikan elaun sara hidup yang ditunggu dalam pembentangan Bajet 2018 akan termakbul.


Source: SH Edisi Johor

[featured-video-plus]