UMP budayakan cegah rasuah

in Edisi Pahang by


PEKAN – Penubuhan Sekretariat Pencegahan Rasuah di kampus Universiti Malaysia Pahang (UMP) merupakan usaha pembudayaan integriti di kalangan mahasiswa dan kakitangan UMP.


Naib Canselornya, Profesor Datuk Dr Daing Nasir Ibrahim berkata, UMP komited menyokong usaha kerajaan memartabatkan kecemerlangan sektor awam dan swasta dengan budaya urus tadbir korporat berintegriti.


“Pusat Tadbir Urus dan Integriti (FGIC) di Fakulti Pengurusan Industri UMP dengan kerjasama Yayasan Pahang dan Institut Urus Tadbir Korporat (MGIC) telah membangunkan Sistem Pengurusan Anti Rasuah (ABMS) yang dilancarkan, 3 April lalu.


“Ia sebuah mekanisme berteraskan teknologi dan berkeupayaan mengukur, mengesan dan menghalang risiko rasuah serta salah laku dalam kalangan pengurusan, pelabur, pekerja, pelanggan serta pihak berkepentingan dalam sesuatu urusan organisasi,” katanya.


Beliau berkata di majlis menandatangani Ikrar Bebas Rasuah bersama SPRM Pahang di UMP kampus Pekan, di sini, semalam.


Dalam pada itu, menurutnya, UMP sedia berkongsi kepakaran penyelidikan yang dimiliki dengan mana-mana agensi termasuk SPRM sebagai rakan sinergi dalam bidang-bidang kolaborasi yang berkaitan.


Sementara itu, Pengarah SPRM Pahang, Datuk Alias Salim berkata, melalui pendekatan ikrar bebas rasuah ini dapat menyedarkan kakitangan dan pegawai akan kesan buruk daripada penglibatan rasuah.


“SPRM sentiasa menyokong penuh usaha UMP mendidik warganya agar tidak mengambil kesempatan dan mempunyai kepentingan lain ketika berurusan dengan pihak pembekal dan sebagainya dalam usaha mereka menjauhi rasuah,” katanya.


Source: SH Edisi Pahang

[featured-video-plus]