Wanita Rohingya beranak dalam hutan

in Nasional by


TIDAK seperti wanita lain di dunia ini, kisah wanita Rohingya ketika melahirkan anak sangat tragis.


Kebanyakan mereka hanya bersendirian saat bertarung nyawa untuk melahirkan zuriat, malah tiada bidan mahupun suami di sisi ketika itu.


Itulah pengalaman yang dilalui oleh Fattma Ali, 32, apabila terpaksa melahirkan anak di dalam hutan, selepas perkampungannya diserang askar Myanmar di Rakhine.


“Saya ketika itu walaupun sarat mengandung, terpaksa lari ke dalam hutan untuk selamatkan diri.


“Di tengah jalan di dalam hutan, ketika itulah saya rasa seperti mahu beranak. Saya menjerit semahunya, tiada siapa pun yang bantu. Saya beranak dalam hutan sendirian,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di kem pelarian Balukhali, Bangladesh, baru-baru ini.


Lebih menyedihkan katanya, dia terpaksa membesarkan anak sendirian selepas suaminya mati ditembak askar Myanmar.


“Walaupun baru melahirkan anak, saya kena kuatkan diri, saya perlu selamatkan diri dengan menyeberang sungai sempadan Myanmar-Bangladesh,” katanya yang akhirnya berjaya menaiki bot untuk meloloskan diri ke Bangladesh.


Fattma berkata, dia bersyukur kerana selamat dan anaknya yang diberi nama Somir Imanuson kini sudah pun berusia dua bulan.


Sementara itu, Amina Omir, 28, pula menceritakan detik getir ketika melarikan diri ke Bangladesh.


“Bot yang kami naik hampir terbalik kerana terlalu ramai, berbanding saiz bot yang kecil,” katanya.




 


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]