Wujudkan sistem perkenalkan Yan kepada pelancong

in Edisi Utara by


YAN – Perancangan yang rapi bakal dilakukan oleh pihak Majlis Daerah Yan (MDY) dalam usaha mewujudkan sistem yang lebih baik dalam memperkenalkan daerah ini kepada pelancong.


Pegawai Daerah Yan, Mohd Yusri Md Daud berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan beberapa agensi dalam memantapkan sistem ini.


“Daerah Yan adalah sebuah daerah pelancongan yang sangat unik kerana dipenuhi dengan pelbagai flora dan fauna,” katanya dalam satu sidang media selepas merasmikan program penutupan Disaster Management Exercise (D’mex) di Pusat rekreasi Titi Hayun, Yan.


Katanya, setakat ini hampir 700 pelancong dari 38 buah negara telahpun menjejaki daerah Yan terutama lokasi tarikan utama iaitu Gunung Jerai.


“Oleh itu, kita perlu mewujudkan sistem yang lebih baik seperti memantapkan kumpulan malim gunung.


“Sekarang ini kita mempunyai 20 orang malim gunung dan kita akan memantapkan kemahiran mereka,” katanya.


Katanya, selain daripada kemahiran mendaki, kemahiran ‘story teller’ dalam diri mereka juga perlu diperkemas bagi membolehkan mereka berkongsi kisah atau cerita sesuatu lokasi kepada pelancong.


Sementara itu, Penguasa Kanan Bomba ll, Mohd Mazukhi Shaffie berkata program D’mex peringkat daerah Yan ini juga merupakan salah satu persiapan pihak agensi keselamatan bersiap sedia dalam menangani apa jua kemalangan.


“D’mex diadakan selama dua hari bermula 24 Oktober dan diisi dengan dua latihan iaitu latihan mendaki gunung, dan juga latihan melibatkan kemalangan kepala air.


“Seramai 76 orang anggota dari agensi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Rela, Jabatan Perhutanan, dan banyak lagi turut melibatkan diri,” katanya


Hadir sama, Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Supritenden Muhamad Halim Yatim.


 


Source: SH Edisi Utara

[featured-video-plus]