4 jam hanyut, dua nelayan syukur terselamat

in Edisi Selangor KL by


KUALA LANGAT – Pengalaman hanyut di tengah lautan dengan hanya berpaut pada tong minyak dan lunas sampan selama kira-kira empat jam, memberikan pengalaman berharga buat dua rakan karib dalam mengenal erti persahabatan.


Situasi getir itu dialami Yaacob Tahir, 63  dan Abdul Aziz Ahmad, 63, apabila sampan dinaiki mereka terbalik dipukul ombak di penanda aras laut pancang putih berhampiran Bukit Jugra kira -kira lima kilometer dari darat , Isnin lalu.


Pengalaman itu disifatkan kedua-dua nelayan itu sebagai cukup memberi keinsafan dalam menghargai anugerah ALLAH SWT.


Difahamkan, ketika kejadian kira-kira jam 3 petang itu, Yaakob dan Abdul Aziz yang dipanggil Joe cuba meleraikan jaring dipenuhi ikan yang tersangkut pada sampan.


Ketika itu keadaan ombak sangat membimbangkan sehingga hasil tangkapan mereka telah menyebabkan sampan teralih sehingga beberapa kali sukar dikawal.


Yaakob berkata, pada masa sama keadaan sampan sudah mendap dan tidak sangka  ombak besar digelar tiga beradik dalam kalangan nelayan berada di hadapan mereka sebelum sampan terbalik.


“Mujur masa tu Joe melompat dari sampan dan berpaut pada tong minyak untuk dijadikan pelampung.


“Pakcik masa tu hanya pegang lunas sampan (bahagian hujung sampan) untuk selamatkan diri pakcik sepanjang tiga empat jam tu,” katanya.


Dia ditemui ketika menerima kunjungan Ziarah Prihatin Ketua Umno Bahagian Kuala Langat, Datuk Sulaiman Mohd Karli di rumahnya di Telok Panglima Garang, hari ini.

 


Source: SH Edisi Sel KL

[featured-video-plus]