Bantu bina semula Syria

in Global by


REYHANLI – TURKI. Pembangunan modal insan pelarian Syria di Turki dan di negara itu mempunyai prospek besar untuk dimajukan.


Pengerusi Syria Care, Siti Sakinah Meor Omar Baki berkata, pandangan itu disepakati dalam pertemuannya dengan Mufti Kilis, Mahmut Karatepe, di pejabatnya.


“Dalam kunjungan yang berlangsung hampir sejam, pelbagai perkara dibincangkan membabitkan peranan masing-masing bagi membantu pelarian Syria. Salah satunya, usaha bagi membantu mereka meneruskan kelangsungan hidup,” katanya.


Menurut Siti Sakinah,  Mufti Kilis menekankan keperluan pembangunan  modal insan khususnya aspek pendidikan.


“Mufti menjelaskan kepada kami, atas keperluan itu, pihaknya menekankan keperluan aspek pendidikan kepada pelarian.


“Pihaknya menyalurkan pelbagai bantuan kepada mangsa peperangan bagi memastikan konflik yang berlaku tidak menghentikan proses pembelajaran. Ia perkara sama yang ditekankan Syria Care,” jelasnya.


Katanya, pembangunan modal insan menjadi aset penting kepada pelarian Syria untuk bina semula negara mereka yang musnah akibat konflik peperangan berlarutan sejak tujuh tahun lalu.


Siti Sakinah yang kini berada di Ankara dalam melaksanakan misi bantuan Syria Care berkata, perkara itu menjadi keperluan utama apabila masalah yang berlaku sekarang berakhir pada masa akan datang.


Ketika kunjungan pertamanya ke Pejabat Mufti Kilis, ia turut disertai Shaikh Abdullah al Ranhal dari pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Muassasah Al-Ahbab Al Insaniah yang menjadi rakan kerjasama Syria Care di Idlib.


Selepas pertemuan itu, Mahmut Karatepe turut membawa rombongan Syria Care melawat ke salah sebuah sekolah tajaannya, Yatili Bolge Erkek Kuran Kursu sebelum membawa melawat ke tapak dapur bergerak yang menyediakan makanan kepada pelarian di kawasan sempadan.


Source: SH Global

[featured-video-plus]