Gembira usahawan mikro, petani diberi perhatian

in Nasional by


KUALA TERENGGANU – Menteri Besar Terengganu menyifatkan Bajet 2018 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini sebagai sangat terperinci, realistik dan bertanggungjawab.


Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, penyediaan Bajet kali ini menyeluruh, terutamanya memberi manfaat kepada golongan B40, berdasarkan lapan tunjang digariskan.


“Saya sangat gembira dan berterima kasih kerana dua kelompok utama iaitu usahawan mikro termasuk usahawan wanita dan kelompok kedua iaitu para petani, nelayan, pesawah dan penoreh getah mendapat perhatian besar dalam bajet ini.


“Setengah bilion melalui Tekun dan tambahan RM200 juta lagi kepada AIM serta RM 6.5 bilion untuk para petani, nelayan, pesawah dan penoreh getah, ini adalah luar biasa dan meningkatkan pembinaan daya kapasiti mereka untuk berdikari dan berjaya,” katanya.


Ahmad Razif berkata, bagi pihak rakyat dan kerajaan Terengganu, beliau ingin mengucapkan terima kasih di atas perancangan projek fizikal dan peruntukan oleh Kerajaan Pusat untuk negeri Terengganu, sebagaimana diumumkan.


Antaranya termasuk pelaksanaan Projek ECRL, rumah-rumah MyBNHomes dan Pusat Cardiology dan Cardio-thoracic di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu.


“Jelas sekali, di sebalik cabaran ekonomi dunia yang tidak menentu dan harga minyak yang jatuh di pasaran dunia, ekonomi negara kita diurus dengan sangat baik sehingga mendapat pengiktirafan Bank Dunia dan agensi-agensi penarafan antarabangsa.


“Mesej saya di sini ialah, negara kita adalah negara yang hebat dan berjaya. Malaysia bukan negara gagal sepertimana tohmahan pembangkang.


“Malah Kerajaan BN di bawah kepimpinan Datuk Seri Najib mempunyai perancangan, hala tuju dan wawasan yang jelas untuk masa hadapan negara dan rakyat, melewati 2050. Kita di landasan betul,” katanya.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]