HP lancar HP ElitePos

in Bisnes by


HP PPS Sales Sdn Bhd (HP) menjangkakan sambutan jualan menggalakkan daripada pelanggan khususnya pemilik rangkaian peruncitan di negara ini menerusi pengenalan sistem peruncitan, HP ElitePos.


Pengarah Jualannya, Frankie Chan berkata, syarikat itu teruja dengan pengenalan penyelesaian baharu itu dan berharap akan mendapat sambutan baik pelanggan dari pelbagai perniagaan perkhidmatan seperti kedai makanan dan minuman (F&B), hotel dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).


“Kami menawarkan harga yang berpatutan mengikut bajet pelanggan dengan harga bermula RM4,823.


“Oleh itu, kami berharap untuk mencatatkan prestasi jualan yang baik dalam tempoh dua bulan ini dan pada tahun hadapan,” katanya selepas pelancaran HP ElitePos di Kuala Lumpur, semalam.


Menurutnya, penyelesaian baharu HP ElitePos itu dibangunkan dengan rekaan versatil yang nipis dan menarik, sesuai digunakan oleh pelbagai rangkaian runcit dan persekitaran hospitaliti di negara ini.


Katanya, pengenalan HP ElitePos akan menjadi peranti hab kritikal bagi memberikan pengalaman dalam kedai yang terbaik kepada pelanggan dalam industri peruncitan negara.


Menurutnya, produk baharu itu juga didatangkan dengan prestasi terbaik menggunakan pemprosesan Core Intel generasi ketujuh dengan teknologi vPro dan sistem keselamatan yang terbaik, dengan perlindungan keselamatan Bios bagi melindungi data pelanggan.


Selain itu, pelanggan juga boleh membuat pilihan untuk melanjutkan tempoh waranti kepada lima tahun daripada waranti standard sedia ada selama tiga tahun.


HP ElitePos turut boleh didapati dalam pelbagai aksesori tambahan, antaranya terminal pencetak, pengimbas kod bar dan pembaca cap jari.


HP ElitePos dijangka berada di pasaran bermula November ini menerusi kedai HP dan lebih 250,000 rangkaian rakan kongsi global di seluruh dunia.


Source: SH Bisnes

[featured-video-plus]