'Ibarat pra final Piala Malaysia'

in Sukan by


ALOR SETAR – Kedah mahu memberikan aksi terbaik pada perlawanan akhir Liga Super 2017 walaupun bakal membariskan pemain muda apabila menerima kunjungan kelab gergasi JDT di Stadium Darul Aman, malam esok.


Setiausaha Kehormat Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Datuk Aminuddin Omar berkata, walaupun fokus utama mereka adalah final Piala Malaysia pada 4 November depan di Shah Alam berdepan lawan sama namun persembahan yang membanggakan akan cuba ditonjolkan oleh mereka apabila melayan kehadiran juara Liga Super itu.


Menurutnya, perjalanan persiapan pasukannya berjalan lancar dan kemenangan tetap diburu sebagai pembakar semangat terutamanya kepada barisan pemain muda mereka.


“Kombinasi (gandingan pemain senior dan muda) yang baik akan cuba digarapkan nanti pada perlawanan akhir Liga Super walaupun semua tahu bahawa tumpuan kita sebenarnya adalah final Piala Malaysia.


“Kita juga mengharapkan nanti agar perlawanan ibarat ‘warming up’ atau pra final pada malam esok, mental pemain berada pada tahap baik selain tidak ada provokasi tertentu yang boleh menjejaskan prestasi pasukan,” katanya.


Mengulas prestasi semasa pemain muda Kedah Aminuddin berkata, program pembangunan yang memberi tumpuan kepada pemilihan bakat, latihan berterusan dan peluang beraksi di peringkat lebih tinggi berjaya dimanfaatkan sebaik mungkin oleh pemain muda.


Source: SH Sukan

[featured-video-plus]