Ibu kandung Ismail dirayu tampil

in Edisi by


BATANG KALI – Ibu kandung seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun dirayu tampil bagi mempermudahkan urusan berkaitan dokumen pengenalan diri termasuk surat beranak.


Ismail Abdullah ditinggalkan ibunya yang hanya dikenali sebagai Ani ketika berusia tiga bulan sebelum dibesarkan ibu angkat, Noorlailawati Mohd Arshad, 49, di Batang Kali.


Noorlailawati berkata, ibu kandung Ismail bekerja sebagai pembantu di rumahnya selepas diperkenalkan oleh seorang rakan.


Menurutnya, sewaktu mula bekerja, dia tidak mengetahui Ani hamil dua bulan namun tiada keberatan menanggung keperluan wanita itu sehingga bersalin.


“Ani bersalin di Klinik Pakar Bersalin dan Bedah Serendah pada 4 Mei 2010 dengan segala kos serta urusan dilakukan oleh saya selaku majikan.


“Selepas habis berpantang, suatu hari Ani beritahu mahu ke Ampang untuk membeli barang raya tetapi tidak pulang dan gagal dihubungi sehingga sekarang.


“Saya membuat laporan polis berhubung perkara tersebut memandangkan dia meninggalkan anaknya yang ketika itu baru berusia tiga bulan,” katanya.


Noorlailawati yang mengusahakan kedai makan di Batang Kali berkata, Ismail dibesarkan seperti anak sendiri termasuk menghantar ke tadika selama dua tahun namun tidak dapat mendaftarkan persekolahan kerana tiada surat beranak.


Menurutnya, dia merayu ibu kandung Ismail tampil bagi membantu urusan melengkapkan dokumen pengenalan diri Ismail demi masa depan kanak-kanak tersebut.


“Saya juga tidak tahu latar belakang ibu kandung yang hanya dipanggil dengan nama Ani dan bekerja dengan saya tidak sampai setahun,” katanya.


Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung perkara tersebut boleh menghubungi Noorlailawati di talian 019-2952997.


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]